Misi Bantuan Kemanusiaan Harakah ke Kelantan

SALMIYAH HARUN | FOTO M NASIR | .

KUALA LUMPUR: Mengenang nasib mangsa banjir di Kelantan terutama Kuala Krai yang kini sedang mengharungi kehidupan pasca banjir dengan serba kekurangan, Harakah dengan Misi Bantuan Kemanusiaan hari ini akan menyampaikan sumbangan kepada mangsa yang terlibat.

Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakop yang mengetuai misi ini mengambil usaha membantu mangsa banjir di Kelantan selain cuba mendalami masalah yang dihadapi mereka ketika ini.

"Kita seramai 20 kakitangan Harakah akan melaporkan suasana, dan perasaan mangsa banjir khususnya pasca banjir. Kita hendak tanya penduduk dan pengalaman mereka serta kesukaran penduduk yang meneruskan hidup tanpa rumah dan tempat tinggal tetap," katanya sambil memunggah barang sumbangan mangsa banjir ke dalam lori.

Selain itu, katanya, misi ini juga mahu melihat secara langsung sama ada bantuan atau penempatan yang pernah dijanjikan oleh kerajaan negeri atau pusat sampai kepada sasaran atau tidak.

"Adakah realiti bantuan ini disampaikan kepada mangsa, kita hendak lihat sejauhmana keprihatinan ini berlaku," katanya.

Beliau berharap, dengan adanya misi ini dapat mengimarahkan semangat kesukarelawan dalam masyarakat dan Harakah mengambil peranan bahawa kesukarelawan masih hidup.

"Kita lihat bencana ini, mereka di kalangan sukarelawan begitu cepat memberi bantuan kepada mangsa. Kita hendak hidupkan dan kembangkan di dalam misi kita ini. Kita sedia bantu orang yang dalam kesusahan," katanya.

Misi Bantuan Kemanusiaan Harakah kali ini memperuntukkan sebanyak RM60,000 untuk mangsa banjir di Kuala Krai, Gua Musang dan Manek Urai.

Rosli berkata, peruntukan daripada Tabung Kemiskinan Harakah itu akan ditambah mengikut keperluan mangsa banjir.

Misi yang akan berjalan selama dua hari 16 hingga 17 Januari akan mensasarkan ke kawasan yang keseluruhan musnah iaitu di Manek Urai Lama, Kampung Manjung, Pendirian dan Laloh.

Menurut Pengarah Misi Bantuan Kemanusiaan, Muhammad Faizal Zakaria lebih 1,000 paket keperluan makanan dan barangan harian termasuk sabun, ubat gigi, ubat nyamuk, lilin dibekalkan untuk diagihkan kepada mangsa.

Keperluan ini juga turut disumbang oleh Muslim Care termasuk 100 kampit beras, keperluan wanita dan bayi termasuk lampin pakai buang, susu dan botol susu.

Manakala tambahnya, 700 pasang pakaian sekolah serta alat tulis akan diagihkan kepada pelajar sekolah melalui wakil Adun di sana nanti.

"Kita akan bertolak petang ini dengan sebuah lori tiga tan dan empat biji kenderaan 4x4, dan esok pagi-pagi kita akan pecahkan beberapa kumpulan dan akan bergerak ke kawasan masing-masing," katanya.

Pelepasan misi ini disempurnakan oleh Penasihat Harakah, Salahuddin Ayub jam 3 petang tadi. Turut hadir ialah AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman.

Turut bersama dalam misi ini Duta Misi Bantuan Kemanusiaan Harakah, Abby Abadi, Wartawan Harakahdaily Salmiyah Harun, juruvideo Mohd Shukri, Wartawan Harakah Arif Juhani, Arif Atan dan jurugambar Wan Zahari Wan Salleh, Kolumnis Harakah Abdul Shukor Harun, serta beberapa kakitangan pemasaran Harakah iaitu Ahmad Faisal Tawang, Supardi Mohd Noh, Mohd Fauzi, Rusli Ysamin dan ramai lagi. - HARAKAHDAILY 15/1/2015

Share on Myspace