Azan sudah berkumandang di Manek Urai Lama

RIZAL TAHIR | .

KUALA KRAI: Sejak banjir besar melanda Kampung Manek Urai 23 Disember lalu hanya pada 12 Januari lepas azan dapat dikumandangkan melalui corong pembesar suara masjid kampung tersebut.

Sebelum ini ada rumah penduduk tersadai di pagar masjid. Longgokan kayu hanyut pula merentangi jalan di hadapan masjid.

Sebahagian bumbung masjid juga tercabut dibawa arus deras Sungai Lebir. Lumpur tebal pula menyelimuti lantai masjid.

Biar pun menara hijau gah berdiri sehingga dapat dilihat dari atas jambatan, namun suasana agak sunyi tanpa kedengaran laungan azan seperti biasa.

Bagaimanapun kesunyian selepas amukan tsunami Sungai Lebir berlalu, azan Maghrib mulai kedengaran malam Isnin lalu.

Surau Al Kauthar dari Kuala Lumpur membantu menyediakan kelengkapan letrik yang dijana menggunakan generator membolehkan pembesar suara dihidupkan.   

Pengerusi Rumah Anak-Anak Yatim Kelab Balkis, Mohd Hilmi Abdul Rahman berkata sebelum ini azan hanya dilaungkan penduduk tanpa pembesar suara.

“Bagaimanapun alhamdulillah bermula Maghrib Isnin lalu azan berkemumandang di udara melalui pembesar suara yang dialunkan ahli kelab Jurugambar Prihatin Sham Khaleefa,” katanya ketika ditemui di sini.

Surau Al Kauthar membelanjakan sebanyak RM2,000 bagi menyediakan kelengkapan tersebut.

Menurutnya walau pun masjid berkenaan rosak teruk akibat banjir, namun solat jemaah tetap diadakan penduduk.

Rumah Anak-Anak Yatim Kelab Balkis Kota Bharu bersama Kelab Jurugambar Prihatin Kelantan berganding menyiapkan prasarana tersebut. - HARAKAHDAILY15/1/2015

Share on Myspace