Kerajaan pusat patut proaktif ketika banjir kritikal

NYZA AYOB | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan sepatutnya bukan hanya memainkan peranan ketika pasca banjir, tetapi tindakan proaktif seharusnya dilakukan sewaktu banjir dalam keadaan kritikal.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, sewaktu banjir sedang melanda, kerajaan mestilah peka dengan keperluan rakyat sewaktu ditimpa bencana.

Menurut beliau, sewaktu banjir, banyak isu yang membabitkan kerajaan pusat tidak dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat semasa kecemasan.

Namun beliau turut mempersoalkan di manakah peranan yang dimainkan oleh tentera sewaktu banjir gelombang kedua melanda Kelantan baru-baru ini.

"Ketika itu agensi kerajaan lumpuh di saat tiada hubungan komunikasi di saat beribu-ribu mangsa banjir terperangkap. Ketika itu sepatutnya pihak keselamatan negara memainkan peranan penting.

"Kenapa kerahan tidak dibuat kepada tentera sewaktu itu? Tetapi jika kita melihat insiden di Lahad Datu, Sabah, ribuan tentera boleh dikerah. Begitu juga dalam kempen pilihan raya, ribuan tentera dibawa masuk hanya untuk menjaga satu Dewan Undangan Negeri bagi pilihan raya kecil," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang kesal kerana Kementerian Pertahanan tidak bersungguh-sungguh memberikan perkhidmatan dalam menyelamatkan nyawa rakyat, sedangkan peranan kementerian berkenaan sangat penting sewaktu bencana.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa bersedia bekerjasama dengan kerajaan pusat terutama dalam perkara melibatkan penempatan mangsa banjir.

"Jika isu berkaitan dengan tanah, kerajaan negeri memang bersedia meluluskan dengan segera mana-mana tapak yang sesuai untuk dibina perumahan bagi mangsa-mangsa banjir. Saya berharap dalam tempoh sebulan dua ini isu penempatan untuk mangsa banjir ini dapat diselesaikan," ujarnya yang juga Ahli Jawatankuasa Tugas Khas Pasca Banjir Kelantan.

Laporan penuh dalam HARAKAH BIL 2013 yang berada di pasaran.

Share on Myspace