PNB perlu adil kepada semua pusat pendidikan

NYZA AYOB | .

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) perlu bertindak adil kepada semua pusat-pusat pendidikan, bukan hanya memberikan sumbangan kepada Permata Negara, kata Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat.

Menurut beliau, sumbangan RM100 atau 100 unit untuk setiap anak Permata Negara yang berumur seawal empat tahun melibatkan peruntukan RM1.6 juta bagi program Pelaburan Amanah Saham Bumiputera 2 dilihat mengenepikan pusat-pusat pendidikan yang lain.

Katanya, bukan hanya PNB tetapi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain perlu memberi perhatian kepada pusat-pusat pendidikan yang lain dengan memberi sumbangan bagi mempertingkatkan sistem pendidikan, terutama bagi pusat-pusat pendidikan yang terjejas akibat banjir.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pasti Malaysia, Hassan Ahmad berkata, kebanyakan kemudahan atau akses kepada pendidikan diberikan kepada pendidikan arus perdana, tetapi pusat-pusat pendidikan swasta termasuk Pasti diketepikan.

"Tetapi apabila pelajar-pelajar Pasti ini disebut-sebut banyak pihak kerana kecemerlangan sistem pendidikannya melebihi arus perdana, barulah ada pihak yang mohon untuk membuat kajian mengenai sistem pendidikan Pasti ini.

"Mereka menyatakan dengan kajian terhadap sistem pendidikan Pasti ini diharap dapat membantu tadika-tadika arus perdana. Tetapi daripada segi sumbangan kepada Pasti atau tadika-tadika swasta yang lain, pelbagai syarat yang diletakkan," katanya ketika dihubungi.

Selain itu katanya, seharusnya syarikat-syarikat GLC itu juga menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada pusat-pusat pendidikan yang terjejas teruk akibat banjir supaya anak-anak yang terlibat dapat meneruskan pengajian mereka dengan lebih selesa.

Pada 12 Januari lalu, Permata Negara melancarkan program Pelaburan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) kepada anak-anak Permata menerusi kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Menerusi program tersebut, PNB menyumbang RM100 atau 100 unit untuk setiap anak Permata Negara yang berumur seawal empat tahun melibatkan peruntukan RM1.6 juta.

Penaung Permata Negara, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, sumbangan tersebut akan dimanfaatkan oleh 15,492 anak Permata daripada lebih 700 taska di seluruh negara merangkumi Pusat Anak Permata Negara, Permata Kemas, Permata Perpaduan, Integrasi Nasional, Taska Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dan Taska Tempat Kerja. - HARAKAHDAILY 16/1/2015

Share on Myspace