Pemimpin, artis berpeluk jadi contoh buruk kepada rakyat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Menghukum denda hanya ke atas remaja bertudung yang berpelukan dengan artis K-Pop bukanlah satu penyelesaian yang tuntas bagi menangani gejala sosial yang melanda negara hari ini.

"Tanpa saya menafikan bahawa tindakan mereka salah di sisi agama, namun saya kira mereka keliru dan tidak menghayati ajaran Islam dengan baik," ujar Timbalan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat, Nasrudin Hassan menerusi facebook.

Bagi beliau, mereka perlu dipanggil oleh pihak berkuasa agama untuk diberi nasihat dan bimbingan di samping penguatkuasaan undang-undang.

Bagi kesalahan pertama, ujarnya mungkin peluang untuk mereka bertaubat dan memperbaiki kesalahan itu lebih afdhal.

Lebih malang, kata Ahli Parlimen Temerloh itu persekitaran atau iklim sosial negara kita sekarang sangat terdedah kepada maksiat dan mungkar.

Menurutnya lagi, menyekat gejala maksiat dan mungkar ini selayaknya menjadi agenda utama pihak berkuasa agama.

"Inilah pokok isu. Mematahkan ranting sedang pokoknya masih subur hanya menumbuhkan ranting yang lain," ujarnya.

Sebelum ini, beliau lihat terdapat pemimpin negara yang berpelukan dengan artis dan peminat mereka di khalayak ramai.

Perbuatan itu, katanya menjadi contoh yang buruk kepada rakyat tetapi tidak pula didengar mereka dihukum dan didenda sedang kesalahan mereka serupa di sisi Islam.

Beliau menjelaskan, berbeza dengan Islam dan syariatnya, tiada siapa yang boleh dikecualikan sekalipun ia adalah orang besar negara.

"Selagi jerung tidak dihukum maka janganlah bilis sahaja yang dipilih untuk dihukum. Inilah antara kezaliman yang wajib dihapuskan," tegas beliau. - HARAKAHDAILY 16/1/2015

Share on Myspace