Hendak jadi calon bukan kuasa saya - Mejar Zaidi

| .

KUALA LUMPUR: Bekas Pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad berhasrat untuk menyumbang secara politik kepada masyarakat di samping menceburi bidang perniagaan.

Mejar Zaidi berkata, ia tidak bermaksud beliau akan menjadi calon pilihan raya kerana ia terserah kepada parti politik.

"Apa yang saya fikirkan, saya akan menyumbang kepada masyarakat menerusi proses politik.

"Hendak jadi calon (pilihan raya) atau apa... Itu bukan kuasa saya.

"Saya tak boleh kata saya mahu jadi calon dan tolong letak saya di sana. Itu bukan kuasa saya.

"Ia terpulang kepada parti politik untuk tentukan saya layak atau tidak.

"Kalau saya ini layak pacak poster, pacak poster sahajalah saya," katanya dalam forum 'Padah kerana benar, Bebas kerana salah' anjuran Bersih 2.0 dekat sini, malam tadi.

Beliau juga secara terbuka berikrar untuk menyumbang tenaga kepada Gabungan Menuntut Pilihan Raya yang Adil dan Bersih (Bersih) yang banyak berkempen untuk beliau selama ini.

Mejar Zaidi berkata, beliau akan melakukan yang terbaik untuk menyumbang kepada rakyat.

"Perjuangkan dan dapatkan apa yang Bersih perjuangkan (iaitu) sebuah kerajaan bersih yang tidak mencuri harta rakyat," katanya.

Beliau juga berkata, beliau nekad untuk tidak merayu pemecatannya kerana peranan beliau dalam TUDM dihadkan apabila beliau mendakwa dihalang terbang serta merta dalam masa 24 jam selepas membuat laporan polis berkenaan isu dakwat kekal pada 1 Mei 2013.

"Saya tidak lagi dibenarkan terbang selepas saya membuat laporan polis (berkenaan dakwat kekal).

"Saya 'disejukbekukan' selepas itu.

"Jadi apakah maksudnya ini? Lebih baik sahaja saya keluar (dari TUDM)."

Lebih baik untuk saya berada di luar dan berbuat sesuatu, berbanding duduk di dalam dan tidak berbuat apa-apa," katanya.

Menurut juruterbang pesawat pejuang itu juga, beliau membuat laporan polis berhubung dakwat kekal tersebut atas rasa tanggungjawab untuk menyatakan kebenaran.

"Mereka (kerajaan) mengatakan dakwat itu kekal tetapi saya dapati ia boleh dibasuh. Saya tidak mahu jadi sebahagian daripada penipuan.

"Saya orang Islam dan bertanggungjawab menyatakan kebenaran. Saya tidak menyesal untuk menyatakan kebenaran," katanya.

Mejar Zaidi dijatuhkan hukuman buang kerja daripada perkhidmatan Yang di-Pertuan Agong serta-merta selepas didapati bersalah atas dua dakwaan melanggar protokol mendedahkan masalah dakwat kekal yang digunakan dalam pilihan raya umum (PRU) Mei 2013.

Keputusan itu dibuat oleh Yang Dipertua, Kolonel Saadon Hassan yang mengetuai panel lima anggota yang terdiri daripada Leftenan Kolonel Zainurin Mohd. Dom, Mejar Khuzairi Mohd. Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib dan Mejar S. Nadzeer Salehuddin. - HARAKAHDAILY 16/1/2015 

Share on Myspace