Mat Indera: Kes Mat Sabu ditunda 26 Feb

| .

BUTTERWORTH: Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini menangguhkan perbicaraan kes ceramah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berhubung isu komunis Bukit Kepong ke 26 Februari depan.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membuat keputusan itu berikutan kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan saksi terakhir, pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim untuk memberi keterangan.

Mohamad dan peguam belanya Mohamed Hanipa Maidin yang juga Ahli Jawatankluasa PAS Pusat hadir di mahkamah hari ini.

Mohamad, yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, 60, didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Feb 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pasti Al Fahmi, Markas Tarbiyah PAS Padang Menora, Tasek Gelugor dekat sini pada 21 Ogos 2011.

Mohamad juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Yusoff Rono serta anggota keluarga mereka pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani. HARAKAHDAILY 16/1/2015

Share on Myspace