Paulsen tidak wajar disiasat ikut Akta Hasutan 1948

ARIF ATAN | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak harus mengenakan siasatan ke atas Pengarah Eksekutif NGO, Lawyers For Liberty, Eric Paulsen mengikut Akta Hasutan 1948 memandangkan undang-undang tersebut mempunyai tahap pembuktian yang rendah.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Paulsen dilihat bukan menghina agama Islam seperti didakwa sesetengah pihak termasuk dari 'tentera siber' Umno.

"Catatan aktivis peguam itu di Twitter kritik Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) tetapi IGP (Ketua Polis Negara) pula yang terus ambil tindakan. Jakim yang patut panggil Eric minta penjelasan bukan terus diheret di bawah Akta Hasutan," ujarnya yang juga Pengerusi Gerakan Anti Perkauman (GAP).

Menurut Ahli Parlimen Parit Buntar itu, kenyataan Paulsen dalam konteks respons terhadap kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Naib Presiden Umno mendakwa serangan pengganas di Paris boleh berulang di Malaysia.

"Akta Hasutan hanya satu alat tidak ubah untuk mengugut bagi mendiamkan kritikan. Dia kritik Jakim bukannya Islam. Jangan biarkan Akta Hasutan jadi alat untuk mengugut dan menafikan budaya dialog dan berbincang.

"Wajar untuk kita menangani isu ini menerusi proses dialog sesuai dengan firman Allah dalam Surah An-Nahl, ayat 125 yang menekankan tentang pendekatan hikmah dan nasihat yang baik," ujar Mujahid lagi mengulas pengesahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tentang penggunaan akta drakonian itu ke atas Paulsen.

Laporan penuh dalam akhbar HARAKAH BIL 2013 di pasaran.

Share on Myspace