Surat Zahid: Usah jadi alasan 'rahsia besar' di bawah OSA

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Penjelasan yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada kelmarin masih belum menjawab persoalan utama.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berata, Zahid masih berdalih untuk mendedahkan apakah perkhidmatan keselamatan yang diberikan oleh Paul Phua kepada kerajaan Malaysia.

"Sungguhpun beliau menafikan surat itu berbentuk surat sokongan agar Paul Phua tidak dikenakan pertuduhan namun masih timbul persoalan atas tujuan apa beliau begitu bersungguh untuk mengutus surat tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Apatah lagi, ujar beliau ia ditulis atas memenuhi permintaan pihak peguambela si tertuduh.
 
Menurutnaya, isu yang menjadi pertikaian umum sekarang bukanlah sekadar sama ada Paul Phua itu ahli kongsi gelap 14 K Triad di Malaysia atau di luar negara tetapi rakyat menuntut penjelasan menteri agar berterus-terang dalam penglibatannya dalam sistem keselamatan negara.
 
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri mengakui sedang bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), jadi apakah keperluan penting sehingga memerlukan campur tangan menteri dalam hal ini?" tanya Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Kelihatannya, kata beliau  Zahid begitu yakin dengan maklumat yang dimilikinya sedangkan FBI merupakan agensi yang terkenal dengan kecekapan dalam soal risikan dan siasatan.

Mungkin selepas ini, ujar Mahfuz bolehlah Zahid mengutus surat teguran pula kepada FBI agar lebih cermat dan teliti supaya tidak mendakwa pihak yang tidak bersalah pada pandangan beliau.

"PAS masih konsisten dengan penegasan agar pihak kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri bersikap telus dalam isu ini," tambah Ketua Whip Ahli Parlimen PAS itu lagi.

Justeru, kata beliau usah jadikan alasan ‘rahsia besar’ di bawah perlindungan Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk membolehkan pihak kerajaan sanggup bersekongkol dengan raja judi dan kongsi gelap dalam hal keselamatan negara.

Beliau berkata, perbuatan itu tidak ubah seperti 'talam dua muka', di hadapan rakyat umum melaungkan slogan membanteras jenayah, sedangkan di belakang rupanya mempunyai hubungan erat dan mesra dengan penjenayah. - HARAKAHDAILY 17/1/2015

Share on Myspace