Kata kepada Najib, pihak Mahathir semuanya benar

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Umno kini bergaduh sesama sendiri. Puak bekas Perdana Menteri bergaduh dengan puak Perdana Menteri sekarang, Najib Tun Razak.

Demikian ulasan Aspan Alias dalam blognya, hari ini.

Menuutnya, setelah menerima kritikan yang kuat dari pihak Tun Mahathir, maka pihak Najib pula telah mendapat nasihat dari seorang yang hanya dikenali sebagai HR dalam usaha memberikan tentangan terhadap kritikan pihak Dr Mahathir.

Katanya, seorang yang bernama HR sebagai mana yang disebut oleh A Kadir Jasin dikatakan begitu berpengaruh dan segala arahannya terhadap media-media massa perdana untuk mengkritik Dr Mahathir, Daim Zainuddin dan Kadir sendiri.

"Sekarang di antara pemimpin dan mereka yang rapat dengan kuasa dalam Umno dan BN itu sedang bergaduh sesama sendiri dan masing-masing mengeluarkan kelemahan pihak yang berlawanan itu," ujarnya.

Beliau menambah, pertembungan di antara puak Dr Mahathir/Daim dan Najib dikatakan oleh setengah pihak sebagai ‘bontot kuali mengatakan bontot belanga hitam’.

Justeru katanya, masing-masing mendiami rumah kaca dan elok jika tidak melontar batu ke rumah kaca lawan.

Bagi Aspan, semuanya sudah terburai dan ingatlah, perlakuan buruk kita tidak akan dapat dipengapkan selama-lamanya kerana tiba masanya ia akan terbongkar dan akan diketahui umum juga.

"Yang paling mengelirukan kita, kedua-dua belah pihak bercakap tentang kesejahteraan rakyat dan menentang semua bentuk kezaliman dalam kerajaan dan negara.

"Kita lihat seterusnya apa yang berlaku di antara kedua-dua belah pihak ini dalam sehari dua ini," ulasnya lagi.

Menurutnya, kedua-dua belah pihak semakin hari semakin terbawa-bawa dengan amarah masing-masing dan mereka ini jugalah yang mengaku diri mereka sebagai pejuang kepada rakyat dan negara sedangkan sebenarnya mereka sedang mempertahankan 'lopak dan laba' masing-masing itu.

Beliau mengambil ini sebagai isu hari ini kerana sudah lama menulis tentangnya.

"Selalu saya perkatakan akhirnya masing-masing tidak akan mampu bertahan dengan ego masing-masing kerana masing-masing mempunyai saham dalam menjadikan negara kita dalam keadaan sekarang ini," katanya.

Bagi beliau, jika ada walaupun sebelah pihak sahaja yang benar-benar jujur terhadap rakyat yang dipimpin mereka tidak akan berlaku bergaduh sambil ‘menyingsing kain’ seperti sekarang ini, tentulah pihak yang benar tidak akan memberikan respons yang sama seperti pihak yang lagi satu.

Pendeknya, kata beliau apa yang dikatakan oleh puak Kadir Jasin terhadap Najib itu semuanya benar, dan apa yang diperkatakan oleh Najib terhadap pihak Dr Mahathir, terutamanya Daim itu semuanya benar.

"Dalam pergaduhan ini Najib nampaknya keseorangan kerana tidak ada seorang menteri pun yang tampil secara terangan mempertahankan Najib, kerana mereka tahu jika Najib berundur akhirnya mereka secara ‘collective’ mesti berundur sedangkan banyak laba yang akan hilang jika Najib berundur," tambahnya.

Menurutnya, mereka bukan mahu berkorban untuk rakyat walaupun itulah yang mereka laungkan dalam politik ini.

Tambah beliau lagi, tidak ada juga pihak yang mengiyakan apa yang disebut oleh Dr Mahathir terhadap Najib kerana rakyat yang berfikir akan mengakui, ‘there must be a cause for a cause’.

Katanya lagi, kalau tidak kerana berlindung di bawah kuasa Mahathir dahulu masakan Najib akan wujud dan timbul sebagai pemimpin besar negara.

Kalau tidak ada lonjakan oleh Mahathir, ujarnya masakan Pak Lah dan Najib muncul di pesada kepimpinan negara dan melakukan kerja yang sangat tidak selari dengan kehendak Dr Mahathir sendiri.

"Inilah padah yang di perolehi oleh Dr Mahathir kerana terlalu kuat memelihara orang yang lemah untuk menggantikan beliau," katanya.

Sekarang, kata beliau oleh kerana Najib dan Pak Lah dahulu lemah maka mereka ini tidak mampu untuk menunjukkan kepimpinan mereka untuk mempertahankan atau untuk menutupi tindakan dan salah laku Dr Mahathir sendiri. - HARAKAHDAILY 18/1/2015

Share on Myspace