Kadir tak pernah minta apa-apa untuk dirinya dari Najib

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Saya tidak pernah meminta apa-apa untuk diri saya daripada Mohd Najib sejak saya mengenali beliau pada 1977, selain daripada menasihati beliau agar melakukan yang terbaik sebagai seorang pemimpin, tulis Datuk A Kadir Jasin.

'Yang saya minta bagi pihak orang lain mungkin ada. Itu pun tidak lebih daripada memperkenalkan mereka kepada beliau. Mohd Najib tahu dan saya pun tahu siapa antara mereka!" tulis bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu dalam blognya, semalam.

Berikut tulisan penuh beliau yang bertajuk 'Kita Mahukan Malaysia Yang Sejahtera'.

SEORANG pengarang akhbar media arus perdana berbahasa Melayu, yang kini menjadi pelantar menyerang pihak-pihak yang memberi tunjuk ajar dan kata dua kepada Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak, menghantar SMS berikut kepada saya:

“HR ini powerful.. keluar saja nama dia, terus kena serang.”

Beliau merujuk kepada paparan Youtube oleh seorang muda Melayu yang memberi “lecture” kepada saya kerana mengkritik Perdana Menteri dan, seperti biasa, bertanya apa lagi yang saya mahu?

Terima kasih kepada pengarang itu dan kepada pemuda Youtube kerana peduli dengan apa yang kami di luar arus perdana bincang dan huraikan.

Alhamdulillah, selain pembahas yang berhujah dalam blog ini, kita juga mendapat perhatian pihak-pihak lain yang mengambil berat  perbincangan kita dan menghebahkannya di arena-arena lain.

Ada yang menggunakan media arus perdana, blog, Youtube dan saluran media sosial untuk memarahi dan menasihati kita kerana dituduh cuba menjatuhkan kepemimpinan Mohd Najib, Umno dan Barisan Nasional.

Saya ambil maklum dan saya gembira dengan penyertaan mereka, khususnya generasi muda. Buat orang Melayu Islam, eloklah kita berbahas secara berhemah, berilmu dan bijaksana serta menghormati kebebasan bersuara daripada menembak dan mengebom orang yang tidak kita setujui.

Ada sesetengah pembahas yang ketandusan idea untuk mematahkan hujah kita bertanya, apa yang saya minta daripada Mohd Najib tetapi tak dapat sehingga saya begitu marah kepada beliau?

Jawapannya mudah saja.

1. Saya tidak pernah meminta apa-apa untuk diri saya daripada Mohd Najib sejak saya mengenali beliau pada 1977, selain daripada menasihati beliau agar melakukan yang terbaik sebagai seorang pemimpin. Yang saya minta bagi pihak orang lain mungkin ada. Itu pun tidak lebih daripada memperkenalkan mereka kepada beliau. Mohd Najib tahu dan saya pun tahu siapa antara mereka!

2. Beliau pun tidak pernah memberikan apa-apa kepada saya selain persahabatan dan setia kawan.

3. Ada tidak pun, beliau dan isterinya - yang dahulu dan sekarang - menjamu saya makan di rumah mereka (di Kuantan dan di Taman Duta). Terima kasih. Sebagai balasan saya memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada beliau.

4. Setia kawan itu berpanjangan sehinggalah beberapa hari sebelum beliau naik menjadi Perdana Menteri apabila saya bersama (Datuk) Ahmad A Talib, (Datuk) Akhirudin [email protected] dan (Datuk) Malik Munip menemui beliau di pejabatnya di Kementerian Kewangan. Dalam pertemuan itu kita menawarkan persahabatan dan khidmat sukarela.

5. Selepas itu saya hanya berjumpa beliau tiga kali. Satu diatur oleh Proton dan satu lagi oleh Pemandu kerana saya menulis mengenai mereka. Pertemuan ketiga berlaku apabila saya bertembung dengan beliau ketika kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada tahun 2010 di mana saya “menegur” beliau mengenai “walkabout” beliau yang agak kaku dan kekok. Saya nasihatkan beliau agar lebih santai dan mesra. Saya kata jalan-jalan (Datin Seri Paduka) Rosmah Mansor lebih natural.

6. Saya alu-alukan cadangan agar saya meminta jasa baik Setiausaha Politik Mohd Najib untuk mengetemukan saya dengan Perdana Menteri. Biarlah saya ceritakan yang saya pernah memohon menghadiri taklimat Perdana Menteri kepada pengarang media massa mengenai isu kalimah Allah tetapi tidak “direstui”.

7. Sebaliknya, Penasihat Media beliau ketika itu, (Tan Sri) Jalaluddin Bahaudin (Jalal) berjanji mengatur temu janji khas bagi saya berjumpa Perdana Menteri secara eksklusif. Kemudian beliau mencadangkan agar saya bertemu Perdana Menteri bersama “a person the PM is comfortable with.” Beliau mencadangkan (Tan Sri) Zainuddin Maidin (Zam) dan saya setuju. Tidak ada apa-apa yang berlaku sehinggalah Jalal bersara.

8. Maaf cakaplah kalau saya kata, saya adalah daripada jenis yang berterus-terang dan saya akan kata apa yang saya rasa perlu dikatakan walaupun tidak disukai oleh yang empunya diri.

9. Kalau pembaca faham, mereka akan tahu yang kritikan saya terhadap Mohd Najib bukanlah tindakan melulu tetapi berasaskan hujah yang disokong fakta, perangkaan dan analisis. Sesiapa pun yang berilmu boleh baca, fahami dan adili sama ada saya betul atau silap.

10. Berkenaan Setiausaha Politik Mohd Najib pula, saya kenal secara peribadi dengan sesetengah daripada mereka malah sampai hari ini pun ada seorang daripada mereka yang masih melayan saya dan sekali-sekala minum teh dengan saya. Ramai peneraju media Perdana Menteri juga adalah rakan, anak buah dan anak didik saya.

12. Seorang “anak didik” saya, dalam posting Facebooknya memberi contoh Jeneral bersara yang hebat-hebat yang kata beliau perlu berdiam diri dan beri peluang kepada jeneral baru menjalankan tugas. Jawapan saya mudah saja. Jeneral bersara itu tidaklah hebat kalau mereka berdiam diri dan membiarkan negara yang mereka bina dan pertahankan dengan darah dan keringat, hancur lebur akibat jeneral baru yang hambar.

13. Kesimpulannya, apa yang saya mahu adalah Malaysia terus aman damai, ekonomi terus mantap, anak cucu saya dan anak cucu tuan-tuan dan puan-puan boleh hidup senang dan terjamin hari ini hingga ke akhir zaman.

15. Inti pati kepada kegusaran dan harapan saya itu terkandung dalam 18 soalan yang saya kemukakan dalam posting berjudul “Perang Saraf Hingusan Ancam Kewibawaan PM” (Baca di sini).


16. Akhir kalam, mari kita renung dan cuba fahami fakta berikut: Antara 31 Disember 2013 dan 29 Disember 2014 Bursa saham Pakistan naik 26.3% dalam mata wang nasional dan (31.5%) dalam mata wang dolar. Bursa Indonesia naik 21.2% (18.5%). Bursa Siam naik 15.4% (15%). Bursa India naik 29.4% (25.6%). Bursa Singapura naik 6.3% (1.5%). Bursa Malaysia JATUH 5.3% dalam mata wang ringgit dan JATUH 11.3% dalam mata wang dolar. (Sumber The Economist, 3 Januari 2015). Kalau kita faham ekonomi, banyak lagi khabar ngeri mengenai Malaysia tercinta.

Wallahuaklam.

Share on Myspace