Banjir: Sekolah kami tiada sehelai kertas pun

| .

TEMPAT pertama dituju setibanya di Kuala Krai ialah rumah Penyelia Dun Dabong yang dijadikan pusat pengumpulan bantuan banjir dan tempat menyediakan makanan untuk mangsa banjir, dinamakan Dapur Rakyat.

Setibanya di sana kira-kira jam 12 tengah hari, suasana Dapur Rakyat ramai dengan penduduk kampung dan sukarelawan yang sibuk dengan tugas masing-masing.

Ketika itu makanan tengah hari sudah siap dimasak dan kelihatan penduduk kampung beratur mengambil makanan yang disediakan di bawah khemah.

Lauknya ikan sardin, ikan kering, sayur kobis dan sambal belacan. Ada juga keropok lekor. Tengah hari itu giliran PAS Selangor membantu menyediakan makanan.

Di bawah khemah sama, sukarelawan sibuk membungkus makanan untuk diagihkan ke seluruh kampung.

Ini kerana, ada penduduk kampung yang tidak ada kenderaan untuk pergi ke Dapur Rakyat dan ada warga tua yang uzur. Jadi, jalan terbaik adalah dengan menghantar makanan ke rumah mereka.

Di khemah bersebelahan pula, tempat diletakkan pakaian terpakai, beras dan barang keperluan asas termasuk air mineral, juga tidak sepi daripada tumpuan penduduk kampung.

Mereka memilih pakaian yang sesuai untuk dibawa pulang dan ada yang beratur untuk mengambil beras, susu bayi dan lain-lain.

Kenderaan keluar masuk membawa barang bantuan dan sukarelawan yang datang silih berganti bagi menabur bakti.

Pasukan misi yang terdiri daripada Nisa' Malaysia, Ameerah Malaysia dan Briged Muslimat (Gen 3) bertemu dengan tuan rumah iaitu Penyelia Dun Dabong, Ku Mohd Zaki Ku Hussein untuk 'lapor diri' dan mendapat gambaran tentang keadaan kampung tersebut sebelum memulakan misi bantuan.

Teringat pesanan Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusuf; adat masuk kampung orang, kenalah jumpa tuan rumah, tidak boleh memandai-mandai sahaja.

Selepas mendengar taklimat dan mendapat sedikit sebanyak gambaran tentang keadaan mangsa banjir, Gen 3 menikmati makanan tengah hari ala kadar sebelum bergerak masuk ke kampung untuk mengagihkan bantuan.

Nisa' Malaysia memfokuskan bantuan 'back to school' iaitu beg sekolah, buku dan alat tulis manakala Ameerah Malaysia menyediakan kit wanita mengandungi telekung solat, tuala, kain batik dan peralatan penjagaan diri wanita, juga lampin pakai buang untuk bayi.

Petang itu, pasukan Gen 3 seramai 12 orang dengan bantuan 4 anggota Unit Amal bergerak masuk kampung bersama PAS Selangor.

Pada asalnya Gen 3 ingin mengagihkan bantuan dari rumah ke rumah namun situasi yang berlaku adalah penduduk kampung sendiri keluar ke jalan raya bagi mendapatkan bantuan.

Dalam keadaaan begini, maklumat tentang pemberian bantuan cepat benar tersebar. Ya, masing-masing sangat memerlukan apa sahaja bentuk bantuan.

Keadaan kampung sangat menyedihkan, dengan pemandangan rumah-rumah dipenuhi lumpur, peralatan rumah dan kenderaan tersadai di luar rumah.

Gen 3 menyantuni penduduk kampung sehingga maghrib sebelum kembali ke Dapur Rakyat. Keadaan Dapur Rakyat pada sebelah malam sama seperti siangnya, tetap meriah dengan penduduk kampung dan para sukarelawan yang tidak henti-henti bekerja.

Apa yang menarik, barang-barang bantuan tidak pula berkurangan, menandakan bantuan yang sampai dari luar Kelantan tidak pernah putus.

Penduduk kampung tidak lokek tenaga membantu sukarelawan mengangkat barang setiap kali tibanya lori yang penuh dnegan muatan barang bantuan.

Tiada sehelai kertas pun

Hari kedua misi, Gen 3 bergerak ke Sekolah Kebangsaan Dabong yang terletak bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong.

Keadaan kedua-dua sekolah sangat menyedihkan dengan kebanyakan perabot dan bilik darjah serta bilik guru rosak dan dipenuhi lumpur tebal. Tambah menyedihkan apabila melihat keadaan buku-buku yang rosak.

Gen 3 bertemu dengan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Dabong, Cikgu Rosli.

Beliau walaupun nampak penat namun menyambut kedatangan Gen 3 dengan senyuman penuh ikhlas dan tidak keberatan memberi taklimat tentang keadaan sekolah.

Waktu itu kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan.

Ditanya tentang khabar sekolah, beliau menjawab, "kami tiada sehelai kertas pun waktu ini,".

Gen 3 pergi ke sekolah itu pada 11 Januari dan beliau memalumkan sekolah akan dibuka pada 18 Januari, hari ini.

Menurut beliau, bantuan buku-buku akan datang dari Jeli, dan pakaian sekolah dari pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Difahamkan, air naik hingga ke tingkat satu bangunan sekolah yang menempatkan 351 murid.

Nisa' Malaysia menyerahkan 250 kit persekolahan kepada Sekolah Kebangsaan Dabong dan 250 kit lagi kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong yang diwakili Guru Penolong Kanannya, Cikgu Zakaria.

Di samping menyerahkan sumbangan, Gen 3 sempat membantu membersihkan kawasan sekolah.

Sebelum pulang, Cikgu Rosli mengucapkan ribuan terima kasih kepada Gen 3 dengan air mata yang bergenang.

Tidak tergambar perasaan seorang guru apabila melihat keadaan sekolah yang rosak teruk.

Pesannya, sebarlah maklumat tentang sekolah tersebut kerana pihak sekolah masih memerlukan apa jua bentuk bantuan demi memastikan sesi persekolahan dapat berjalan seperti biasa. - HARAKAHDAILY 18/1/2015

Share on Myspace