Selepas jambatan runtuh, pelajar naik bot ke sekolah

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Selepas jambatan menghubungkan Kampung Pulau Setelu runtuh ketika banjir besar melanda akhir Disember lalu, kos pengangkutan pelajar ke sekolah meningkat berkali ganda.

Setiap hari pelajar terpaksa membayar tambang RM4 untuk pergi dan balik. Selain itu tambang kereta pula RM4 sebelum sampai ke Sekolah Kebangsaan Kampung Star.

Kampung itu terletak kira-kira 2 km dari jambatan Pulau Setelu yang runtuh akibat rempuhan deras arus Sungai Nenggiri.

Penyelia Dun Galas, Abdullah Husain berkata, sebanyak RM8 perlu disediakan ibu bapa setiap hari untuk membolehkan anak mereka datang ke sekolah.

Katanya, jumlah itu belum termasuk duit poket pelajar untuk membeli keperluan lain.

“Ini bermakna bagi setiap pelajar ibu bapa terpaksa menyediakan wang sekurang-kurang RM50 seminggu. Cuba bayangkan kalau ada dua anak kos meningkat kepada RM100.

“Inilah realiti yang dihadapi penduduk di Pulau Setelu sekarang selepas jambatan menghubungkan kampung itu dengan Kampung Star dan Gua Musang runtuh,” katanya di sini.

Jambatan Pulau Setelu runtuh di bahagian tengah sama seperti dialami jambatan kereta api di Kampung Kemubu.

Sebahagian jambatan yang menghubungkan Kampung Pulau Setelu dan Kampung Star kini terbenam di dasar Sungai Nenggiri.

Penduduk Pulau Setelu sekarang terpaksa menggunakan perkhidmatan bot untuk ke Gua Musang dan Jeli. Ketiadaan jambatan menyebabkan kos kehidupan penduduk meningkat berkali ganda.

Abdullah juga berkata, PAS Gua Musang sebelum ini memberi subsidi minyak kepada pengusaha bot bagi membantu mereka menyediakan perkhidmatan dengan kos lebih rendah.

Mengambil kira desakan hidup dihadapi penduduk Pulau Setelu Pemuda PAS Kelantan tampil menyediakan bot bagi meringankan bebanan dihadapi penduduk.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Jabatan Amal Kelantan membeli bot berukuran 24 kaki panjang yang dilengkapi enjin bagi menyediakan perkhidmatan percuma kepada pelajar.

“Bot tersebut termasuk enjin membabitkan kos RM11,000 akan dibawa ke kampung tersebut esok bagi mengangkut pelajar-pelajar ke sekolah.

“Perkhidmatan bot itu akan diurus Jabatan Amal Gua Musang bagi mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah.

“Saya difahamkan pengusaha bot persendirian mengenakan tambang RM2 bagi setiap perjalanan. Ini bermakna setiap hari pelajar perlu membayar RM4,” katanya di sini.

Beliau yang juga Pengarah Urusetia Pembangunan Belia, Sukan dan NGO berkata, dengan ada kemudahan bot percuma dapat mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung ibu bapa. - HARAKAHDAILY 18/1/2015

Share on Myspace