Banjir: Tabung Bencana Kelantan kumpul RM8.1 juta

| .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kelantan berjaya mengumpul RM8.1 juta menerusi Tabung Amanah Bencana Banjir.

Jumlah tersebut hasil sumbangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Kerajaan Persekutuan, GLC Kerajaan Negeri, syarikat pelaburan dari Kelantan dan luar Kelantan, syarikat swasta, syarikat persendirian serta bebarapa badan bukan kerajaan (NGO).

Sumbangan diserahkan oleh para penderma kepada Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dalam satu majlis minum petang di Hotel Royal Chulan, dekat sini, semalam.

Menurut Ahmad, sumbangan tersebut akan digunakan bagi membina 600 buah rumah tiga bilik atas tanah berkeluasan sembilan ekar di Manek Urai.

Beliau juga berkata, sumbangan tersebut dapat memulihkan kehidupan mangsa banjir dan pembangunan semula negeri itu yang terjejas teruk.

“Saya lihat keprihatinan rakyat Malaysia dan rasa kasih sayang dan mahabbah juga kesedaran daripada semua pihak NGO dan juga pertubuhan pertubuhan telah banyak membantu bagi membolehkan rakyat Kelantan untuk mula semula kehidupan mereka,” kata beliau sewaktu merasmikan pelancaran tabung tersebut.

Tabung tersebut diwujudkan pada 29 Disember 2014 di bawah subseksyen Akta Acara Kewangan 1957.

Para penderma yang menyumbang kepada tabung tersebut akan dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan di bawah Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju untuk memotong sebulan gaji Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi menyumbang kepada tabung tersebut.

Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pula akan menyumbang sebulan elaun mereka termasuklah Ahli Dewan Rakyat dari Kelantan, Ahli Dewan Negara Speaker.

Mana-mana pihak yang ingin menyumbang bagi pembangunan semula pasca banjir boleh menyalurkan sumbangan tersebut ke:

Tabung Amanah Bencana Banjir Negeri Kelantan Bank Islam Malaysia Berhad 03018010080024
Atas nama penerima: Tetuan Perbendaharaan Negeri Kelantan. - HARAKAHDAILY 19/1/2015

Share on Myspace