K-Pop: K'jaan tak ambil berat isu memalukan umat Islam

AHMAD MOUHYIDEEN HASSIM | .

ISU gadis bertudung yang memeluk artis K-Pop telah menimbulkan kegemparan di kalangan masyarakat Malaysia. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telah mengeluarkan kenyataan bahawa Mahkamah Syariah boleh mengeluarkan waran tangkap jika gadis tersebut tidak bekerjasama dalam siasatan yang dijalankan.

Kes ini akan dibawa ke mahkamah untuk diambil tindakan. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam kenyataannya pula berkata tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur konsert K-Pop berikutan perlakuan kurang sopan tersebut. Jelasnya, Jawi dan Jakim menggunakan kuasa dalam menangani isu ini.

Walau bagaimanapun, terdapat pandangan bahawa Jawi dan Jakim melampau dalam mengambil tindakan terhadap pihak berkenaan. Mereka melihat bahawa Jawi dan Jakim perlu mendidik dan memberikan kaunseling berbanding menggunakan kuasa mendakwa mereka di mahkamah.

Perlu dijelaskan bahawa berpelukan di antara wanita dan lelaki yang bukan mahram adalah perkara yang ditegah dalam agama dan ia diketahui umum tentang hukumnya (ma u'lima minaddin biddhorurah).

Masyarakat mengetahui tentang hukum tersebut sebagaimana mereka mengetahui tentang haramnya mencuri, berzina, merogol dan lain-lain. Justeru, penggunaan kuasa dalam perkara ini adalah perlu kerana orang ramai tidak jahil tentang perkara tersebut dan tidak memerlukan penerangan untuk difahami.

Islam membenarkan penggunaan kuasa oleh pemerintah sebagaimana hukuman yang ditetapkan oleh Allah kepada pesalah zina, minum arak, mencuri, merompak dan lain-lain.

Saidina Abu Bakar As-Siddiq ketika menjadi Khalifah dalam berhadapan dengan golongan yang tidak mahu mengeluarkan zakat telah menggunakan kuasa dalam memerangi golongan tersebut. Ia adalah kerana perkara tersebut adalah diketahui umum hukumnya.

Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin telah menyebut tentang kepentingan kuasa dalam menjaga agama. Beliau berkata: "Dunia adalah ladang bagi akhirat. Tidak sempurna agama kecuali dengan dunia. Pemerintahan dan agama adalah kembar (yang tidak boleh dipisahkan). Agama adalah asal (asas) dan sultan (kekuasaan) adalah penjaga. Perkara yang tidak ada asal (asas) maka ia akan runtuh dan perkara yang tidak ada penjaga maka ia akan hilang.

Syeikh Ibnu Taimiyyah berkata dalam fatawanya: Oleh kerana Allah telah mewajibkan supaya menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar maka ia tidak akan sempurna kecuali melalui kekuatan dan pemerintahan.

Ia berbeza dengan kesalahan yang tidak diketahui hukumnya oleh orang ramai dan mereka masih jahil tentangnya maka penerangan dan didikan perlu diberikan sehingga ia difahami. Selepas ia diketahui dan diberikan keterangan, sesiapa yang menolak dan mengingkarinya perlu diambil tindakan dan digunakan kuasa dengan membawanya ke mahkamah.

Perlu diberikan perhatian bahawa gejala seperti ini akan terus berlaku jika Kerajaan Pusat tidak melaksanakan Syariat Islam secara menyeluruh.

PAS sekali lagi menegaskan bahawa mengembalikan Malaysia kepada lslam merupakan perkara pokok yang wajib didukung oleh seluruh umat Islam di dalam negara ini. Pengarahan daripada Kerajaan Pusat kepada jabatan-jabatan di bawahnya secara jelas tentang peranan untuk melahirkan masyarakat bertaqwa juga menjadi satu elemen penting dalam isu mencegah kemungkaran.

Walau bagaimanapun, realiti yang berlaku hari ini, Kerajaan Pusat langsung tidak mengambil berat dalam perkara ini sehingga berlakunya pelbagai isu yang memalukan umat Islam dan agama Islam itu sendiri. - HARAKAHDAILY 19/1/2015

Penulis ialah Pengarah Operasi Majlis Penyelidikan dan Tafaqquh Dewan Ulamak PAS Pusat.

 

Share on Myspace