Bajet: PM digesa segerakan Sidang Khas Parlimen

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar menggesa agar Pedana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan segera Sidang Khas Parlimen sebelum membuat sebarang pindaan terhadap Bajet 2015.

Beliau menegaskan bajet yang dibentangkan Najib sebelum ini telah melalui proses perbahasan di parlimen sebelum ia diluluskan dan sepatutnya untuk pindaan semula ia perlu melalui proses yang sama.

"Najib perlu segera memanggil Sidang Khas Parlimen, belum terlambat untuk beliau memanggil kesemua ahli parlimen untuk hadir mendengar pindaan tersebut.

"Walaupun esok beliau akan mengumumkannya tetapi beliau masih boleh menangguh sehingga mendapat kelulusan di peringkat parlimen," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau lagi, Bajet 2015 sebelum ini telah melalui beberapa proses perbahasan beberapa peringkat di parlimen sebelum ia diluluskan.

"Ia dibuat mengikut peraturan mesyuarat dan sebarang pindaan perlu dikembalikan semula kepada parlimen untuk dibahaskan semula.

"Kita tidak mahu kerajaan dengan sesuka hati mereka membuat pindaan sebarang kelulusan yang dibuat di parlimen, jika ini tidak ditekankan ia akan menjadi amalan pada masa akan datang," sambung beliau lagi.

Kamarudin yang juga anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) turut meminta agar jawatankuasa itu turut mengadakan mesyuarat dengan segera berhubung pindaan Bajet 2015.

"PAC perlu memandang serius dalam hal ini kerana ia melibatkan wang negara, apa yang dilaporkan di dalam laporan audit sebelum ini perlu dijadikan pengajaran.

"Kita tidak mahu dengan pindaan semula ini menyebabkan lebih banyak ketirisan serta penyelewengan berlaku, pemantauan serius perlu dilakukan," katanya lagi.

Najib dijangka akan membuat pengumuman mengenai pindaan semula Bajet 2015 esok berikutan perubahan drastik ekonomi dunia akibat kejatuhan harga minyak.

Beliau dalam ucapan bulanan bersama warga kerja Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini memberitahu kejatuhan harga minyak sehingga 60 peratus memberi kesan kepada ekonomi dunia termasuk Malaysia. - HARAKAHDAILY 19/1/2015

Share on Myspace