Kemelut ekonomi: Tiga saranan buat PM

KHAIRIL NIZAM KHIRUDDIN | .

PADA 21 Disember yang lalu, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) telah menghantar delegasi untuk berdialog dengan Menteri Kewangan Kedua, YB Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bagi membincangkan dampak perkembangan ekonomi antarabangsa yang mempengaruhi ekonomi negara.
 
Pertemuan satu jam tiga puluh minit itu dilihat menunjukkan keberhasilan dan ia merintis ke arah perkembangan politik yang lebih baik seterusnya membuka sarana kepada parti pembangkang untuk turut sama berempati dan mengemukakan cadangan konstruktif kepada pihak kerajaan untuk mengemudi negara ke arah lebih sejatera.   
 
Esok, Perdana Menteri YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dijangka akan membuat pengumuman penting mengenai keadaan ekonomi semasa dan kesannya terhadap anggaran peruntukan perbelanjaan persekutuan tahun 2015.
 
Ia adalah susulan kejatuhan mendadak harga minyak mentah dunia kepada paras AS$48 setong sehingga minggu lalu, penyusutan nilai Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika Syarikat paling buruk semenjak krisis 1997 dan perbelanjaan besar luar jangka akibat bencana banjir yang melanda beberapa negara.
 
Ekoran daripada itu, DPPWP ingin mencadangkan TIGA perkara iaitu;
 
1. Kerajaan perlu membentangkan pelan bersepadu untuk mengurangkan kebergantungan terhadap perolehan daripada sektor minyak dan gas. Bajet 2015 yang dibentangkan Oktober tahun lalu berjumlah RM273.9 bilion mengambilkira harga minyak yang berlegar pada paras AS$100 ke AS$105 setong berbanding kini AS$48 setong
 
Sektor tersebut menyumbang kira-kira 30% - 35% kepada pendapatan kerajaan. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas telah menganggarkan sumbangan perbadanan tersebut kepada kerajaan pada tahun 2015 akan jatuh sehingga 37 peratus berbanding RM43 bilion pada tahun sebelum ini.
 
Sumbangan Petronas terhadap hasil negara dianggarkan menyusut sehingga 37 peratus berbanding RM43 bilion sebelum ini. Ini menunjukkan bahawa kerajaan perlu memperincikan langkah konkrit untuk meningkatkan pelaburan domestik melalui syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta secara umumnya.
 
2. Merevisi pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan sebanyak 6 peratus yang akan dilaksanakan pada 1 April 2015. Kerajaan sewajarnya memberikan fokus utama untuk mengukuhkan ekonomi golongan pertengahan dan secara langsung akan meningkatkan penggunaan domestik.
 
Berdasarkan statistik, purata pendapatan golongan pertengahan (40 peratus) adalah RM4,372 sebulan. Kadar inflasi semasa pula sekitar 3.0 peratus (November 2014) dan ia akan melonjak sehingga 5 peratus akibat daripada pelaksanaan GST dan kesan penghapusan subsidi minyak bermula Oktober lalu.     
 
Jika situasi ini tidak dikawal dengan segera, negara akan berhadapan dengan kelembapan ekonomi dan kenaikan inflasi (stagflasi). Oleh hal yang demikian, tindakan mengukuh dan meluaskan golongan pertengahan ini boleh merancakkan ekonomi dan mengurangkan dispariti pendapatan.

Pada masa yang sama, kita juga mahu supaya rakyat mengamalkan perbelanjaan berhemah. Walaupun jumlah agregat pinjaman isi rumah berkadar perlahan selepas kenaikan OPR, namun institusi kewangan bukan bank seperti syarikat pinjaman wang berlesen dan koperasi (shadow banks) mencatatkan pertumbuhan.
 
3. DPPWP yakin keberkatan dan kemakmuran ekonomi dapat dijana sekiranya pihak kerajaan terus mengamalkan integriti yang tinggi dalam mengurus ekonomi negara. Perbelanjaan kerajaan bermakna perbelanjaan duit rakyat. Ia mesti dimanfaatkan secara pruden, tidak boros dan tidak menyeleweng.     
 
Mengutamakan kebajikan rakyat adalah lebih penting berbanding bersikap lavish dalam perbelanjaan khususnya terhadap rancangan pembangunan yang tidak seimbang. Kita harus sedar beberapa insiden tragis yang melanda negara sebelum ini adalah signal daripada Maha Kuasa supaya kita insaf dan kembali tunduk kepada-Nya.
 
Firman Allah SWT dalam Surah al-A’raaf, ayat ke-96 yang bermaksud;

“Sekiranya penduduk di negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu kurniaan) yang diberkati lagi melimpah ruah daripada langit dan bumi, sebaliknya mereka dusta, lalu Kami timpakan azab seksa disebabkan apa yang telah mereka telah lakukan”  

DPPWP berharap agar langkah-langkah yang dijangka akan diumumkan esok oleh Perdana Menteri dapat mengurangkan bebanan ekonomi yang melanda negara. Paling penting, kerajaan mesti memastikan sikap amanah yang tinggi dan menterjemahkan polisi-polisi yang lebih adil serta berkebajikan. – HARAKAHDAILY 19/1/2015
 
Penulis ialah Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Share on Myspace