Selangor jadi ‘trade mark’ PR urus bantuan pasca banjir

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kemampuan Selangor mengurus bantuan pasca banjir wajar dijadikan contoh Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kemampuan Kerajaan Selangor di bawah pentadbiran Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, menguruskan bantuan pasca banjir di Kelantan dan Perak adalah ‘trade mark’ kemampuan Pakatan Rakyat (PR) jika berjaya menawan Putrajaya nanti.

“Ini adalah ‘trade mark’ PR. Maknanya, kita dah mulakan dengan bantuan Selangor kepada kerajaan negeri khususnya yang berat seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Mereka tinggalkan mangsa pasca banjir, sedangkan ketika ini banyak bantuan dan sumbangan diperlukan kerana mereka mengalami kejutan serta bagaimana ingin membina semula kehidupan," katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau menyatakan demikian ketika menyambut kedatangan Menteri Besar Selangor bersama sukarelawan di Kampung Senggang di Kuala Kangsar semalam.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu juga menggesa masyarakat mengikis pemikiran kononnya hanya Barisan Nasional (BN) sahaja yang mampu menguruskan isu berkenaan bencana banjir di negara ini.

Selangor turut menguruskan pasca banjir dengan bantuan barangan keperluan asas seperti alatan persekolahan, dapur, tong gas, peralatan kerja pembersihan dan tenaga kerja serta jentera Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri, selain menghulurkan bantuan RM1.5 juta kepada Kerajaan Kelantan, Terengganu, Pahang juga Perak. - HARAKAHDAILY 19/1/2015

Share on Myspace