Dedah motif bunuh Altantuya sebelum hukuman mati

AZAMIN AMIN | .

KUALA LUMPUR: Walaupun kes pembunuhan model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu telah berakhir dengan bekas anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar didapati bersalah dan dihukum mati namun motif pembunuhan masih menjadi tandanya umum.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata motif adalah elemen yang sangat penting yang menjurus kepada perlakuan membunuh itu malah mereka berdua dijatuhi hukuman atas kesalahan membunuh dengan niat.

Beliau tidak mempersoalkan keputusan mahkamah tetapi adalah tidak wajar, motif pembunuhan tidak didedahkan sehingga menimbulkan persoalan umum kenapa dua anngota tersebut tergamak membunuh seorang wanita luar negara.

"Apa kepentingan dua anggota itu sehingga tergamak membunuh Altantuya?

"Adakah disebabkan agenda peribadi, ada arahankah atau rahsia besar yang bakal didedahkan Altantuya sehingga menghalang mereka berdua untuk naik pangkat sehingga tidak boleh jadi Ketua Polis Negara atau Menteri Dalam Negeri?

"Semua ini menimbulkan tanda tanya. Oleh itu motif perlu dijelaskan supaya tidak wujud spekulasi liar atau salah tanggap tentang tugasan dan kredibiliti anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK) yang pernah terlibat dengan operasi khas," kata Mahfuz.

Mahfuz berkata bahawa perbicaraan awal kes ini pernah didedahkan dua anggota UTK terbabit ini sentiasa mendapat arahan untuk menjalankan operasi khas yang membabitkan penjenayah.

"Anggota UTK melakukan tugas mengikut arahan. Adakah pembunuhan ini juga merupakan arahan dan siapa beri arahan?

"Jika tidak ada arahan, adakah ianya bersifat peribadi, jadi jelaskan motifnya," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mengulas tentang 'kehilangan' Sirul ke luar negara dan mencadangkan supaya kedua-dua anggota terbabit mendedahkan motif pembunuhan sebelum hukuman mati dijalankan.

"Sebelum tempoh habis umur (hukuman mati) ke atas mereka, beri peluang kepada mereka mendedahkan motif pembunuhan yang telah dilakukan.

"Sirul yang berada di luar negara, boleh buat rakaman dan siarkan kepada umum tentang motifnya.

"Kita ingin tahu adakah sesiapa yang beri arahan dan dalang di sebalik kejadian ini dan jika tidak ada sekalipun, jelaskan motif bunuh wanita luar negara tanpa sebab," katanya.

Kehilangan Sirul yang begitu mudah 'bolos' ke luar negara, adalah disebabkan identiti sebenar kedua-dua anggota polis itu tidak diketahui umum, memandangkan sepanjang perbicaraan kes tersebut, wajah mereka berdua ditutup dan bertopeng, kata Mahfuz.

"Kenapa dalam kes pembunuhan yang lain, tertuduh didedahkan wajahnya dengan mudah tetapi kes ini dilayan 'istimewa' sehingga tiada peluang umum mengecam wajah dua anggota terbabit," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.

Perbicaraan yang dianggap 'pelik' ini menyaksikan 75 saksi pendakwaan manakala pihak pembelaan hanya memanggil Azilah dan Sirul.
 
Hakim Mohd Zaki tidak menyentuh motif di sebalik pembunuhan Altantuya, dan memutuskan bahawa ia bukan satu keperluan kepada kes pembunuhan itu.

Selain itu pihak pendakwaan tidak merayu terhadap pembebasan Abdul Razak yang dituduh bersubahat dengan pembunuhan itu dan peranan DSP Musa Safri bekas pengiring Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang menghantar Azilah ke rumah Abdul Razak di Damansara Heights dan pejabat di Jalan Ampang untuk menyelesaikan isu yang dikaitkan dengan Altantuya.
 
Begitu juga Akuan Bersumpah (SD) pertama P Balasubramaniam yang yang berdasarkan cerita Abdul Razak dipaksa menarik balik SD pertama itu dan menandatangani SD kedua.

Selepas itu, Balasubramaniam dan keluarganya berlepas ke India selepas didakwa diminta berbuat demikian selama lima tahun sebelum pulang pada tahun 2013. Penyiasat persendirian itu meninggal dunia akibat sakit jantung tidak lama selepas itu.

Keluarga Balasubramaniam telah memfailkan saman RM1.9 juta terhadap Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Cecil, serta enam orang lain, tetapi saman itu telah ditolak bulan lepas.

Pada 15 November 2006, Sirul dan Azilah, dituduh membunuh Altantuya Shaariibuu, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara pukul 10 malam, 19 Oktober 2006 dan 1 pagi 20 Oktober 2006 di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman mati mandatori. - HARAKAHDAILY 19/1/2015

Share on Myspace