Jangan beban rakyat dengan penstrukturan semula bajet

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menggesa kerajaan tidak membebankan rakyat dalam penstrukturan semula Bajet 2015 yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, esok.

Beliau ketika dihubungi Harakahdaily berkata, walaupun negara ini sedang berdepan dengan krisis ekonomi, kerajaan perlu ada perancangan khusus dan bukan menjadikan rakyat sebagai mangsa.

"Perlu ada perancangan khusus dalam memastikan ekonomi negara pulih semula, dalam kita menghadapi tekanan inflasi seperti sekarang, rakyat tidak boleh dijadikan mangsa begitu juga pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) perlu ditangguhkan.

"Jika kerajaan terus menjadikan rakyat sebagai beban ini membuktikan kerajaan yang ada sekarang cukup lemah," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut kesal apabila kerajaan ketika membentangkan Bajet 2015 pada tahun lalu tidak menjadikan harga semasa minyak dunia sebagai panduan.

"Ini kedegilan yang ada dalam pentadbiran sekarang, kita pada perbahasan bajet lalu menekankan agar harga semasa minyak dunia perlu diambil kira dalam bajet tersebut tetapi tidak, kerajaan tetap berdegil dengan alasan mereka sendiri.

"Sekarang kita lihat apa yang berlaku sehinggakan perlu cadang untuk penstrukturan semula bajet akibat dari kejatuhan harga minyak dunia.

"Saya tidak melihat di mana peranan pakar-pakar ekonomi kerajaan dalam memastikan setiap bajet itu mengikut keadaan ekonomi dunia semasa," tambah beliau.

Beliau turut mengingatkan kerajaan lebih prihatin dan sedar dengan apa yang berlaku sekarang bagi memastikan negara ini lebih bersedia menghadapi krisis ekonomi jika berlaku pada masa akan datang.

"Dulu ketika kita mempunyai pendapatan yang tinggi kita tidak pernah berfikir untuk membuat simpanan bagi kegunaan seperti keadaan sekarang.

"Kita berbelanja mewah dengan pelbagai projek mega, kita perlu ada tabung masa depan untuk digunakan pada saat-saat getir.

"1Malaysia Development Berhad (1MDB) sepatutnya menjadi penyelamat negara ini sebaliknya menjadi beban kepada pendapatan negara dengan hutang, siapa lagi yang kita harapkan," tanya beliau. - HARAKAHDAILY 19/1/2015

Share on Myspace