Bunuh Altantuya: Sirul boleh dedah kepada media Australia

HAZAYANI ZAKARIA | .

SHAH ALAM: Bekas anggota polis Koperal Sirul Azhar Umar mesti mendedahkan keseluruhan kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu kepada media Australia.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad berkata, selagi Sirul tidak membuat pendedahan tersebut, motif pembunuhan dan individu yang mengarahkan Altantuya dibunuh akan terus menjadi tanda tanya.

Australia enggan memenuhi permohonan Malaysia mendapatkan perintah ekstradisi terhadapanya yang dikenakan hukuman mati.

"Kalau boleh di Australia itu Sirul ceritakan keseluruhan kepada akhbar di Australia kenapa dia bunuh Altantuya.

"Kes ini dah berlarutan lama dan akan terus jadi isu sehingga semua persoalan itu terjawab," kata beliau yang juga ahli Parlimen Shah Alam pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Khalid juga berkata, Sirul sepatutnya menggunakan peluang perlindungan dari Australia dengan mendedahkan motif sebenar beliau dan rakannya, Azilah Hadri membunuh Altantuya.

"Australia ada prinsip menolak hukuman gantung, jadi Sirul harus ambil peluang itu untuk menjawab segala persoalan," katanya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana Sirul boleh berada di Australia dan terlepas daripada tali gantung.

“Sedangkan orang yang tidak bayar pinjaman PTPTN pun boleh dirampas pasport, dan dihalang ke luar negara. Tetapi orang seperti Sirul boleh bebas keluar pergi ke Australia," katanya.

Pada 15 November 2006, Sirul dan Azilah dituduh membunuh Altantuya Shaariibuu, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara jam 10 malam, 19 Oktober 2006 dan 1 pagi 20 Oktober 2006 di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, yang membawa hukuman mati mandatori. - HARAKAHDAILY 19/1/2015

Share on Myspace