Malaysia masih selamat daripada jangkitan Listeria

SOON LI WEI | .

KUALA LUMPUR: Malaysia masih selamat dan tiada jangkitan penyakit bawaan bakteria 'Listeria Monocytegenes' (Listeria) dikesan sehingga hari ini, kata Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr H. Krishna Kumar.

Katanya Listeria merupakan penyakit yang boleh membawa maut namun jika dikesan pada peringkat awal ia boleh dirawat dan disembuhkan.

"Walaupun tidak mempunyai risiko untuk dijangkiti penyakit itu, namun rakyat masih perlu berwaspada terutamanya dari aspek kebersihan makanan dalam kehidupan seharian," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Antara simptom jangkitan Listeria ialah demam kuat, sakit kepala yang teruk, kekejangan pada leher dan loya serta cirit-birit.

Beliau menasihati mereka yang mempunyai simptom itu agar segera mendapatkan rawatan bagi mengelakkan penyakit ini menjadi mudarat.

"Wanita mengandung, warga emas, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah tergolong dalam kumpulan berisiko untuk dijangkiti penyakit ini," kata Dr Krishna Kumar.

Isu berkaitan larangan pengambilan epal terbabit tersebar di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Sebuah portal media turut melaporkan bahawa penularan bakteria itu dikesan di sebuah pusat pemprosesan epal Bidart Bros dekat Bakersfield, California melibatkan epal yang disaluti karamel.

Pada Ahad, dua jenis epal iaitu 'Gala' dan 'Granny Smith' dari Amerika Syarikat yang disyaki tercemar dengan bakteria itu disekat daripada memasuki negara ini.

Sementara itu, Pakar Mikrobiologi Makanan, Keselamatan Makanan dan Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia Prof Dr Fatimah Abu Bakar berkata sayur-sayuran dan buah-buahan boleh dicemari bakteria 'Listeria Monocytegenes' yang datangnya daripada baja atau tanah yang digunakan sebagai agen penyuburan.

"Bakteria ini juga boleh wujud dalam makanan mentah yang tercemar seperti daging yang tidak dimasak atau rosak akibat disimpan terlalu lama kerana ia boleh hidup lama dalam suhu yang rendah," katanya.

Beliau berkata cara penyimpanan makanan adalah penting bagi mengelakkan daripada tercemar dengan bakteria 'Listeria Monocytegenes'.

"Oleh itu jika penyimpanan makanan tidak dijalankan secara betul, maka bakteria itu akan merebak ke makanan-makanan yang lain," katanya.

Fatimah berkata risiko untuk menghidap penyakit Listeria boleh dikurangkan sekiranya makanan mentah dimasak dan sayur-sayuran serta buah-buahan dibasuh terlebih dahulu sebelum dimakan.

"Pastikan daging yang belum dimasak diletak jauh daripada sayuran dan makanan yang sudah dimasak, serta elakkan daripada minum susu tidak dipasteur.

"Basuh tangan dan bersihkan peralatan dapur seperti pisau atau kuali selepas memasak atau selepas mengendalikan makanan mentah," katanya.

Fatimah menjelaskan simptom jangkitan Listeria hanya akan dapat dilihat secara jelas selepas memakan makanan yang dicemari bakteria tersebut dalam masa sebulan.

"Serangan itu tidak berlaku dalam sekelip mata ataupun sehari selepas memakan makanan tercemar, ia mungkin mengambil masa sebulan untuk menampakkan simptom jangkitan kerana bakteria itu membiak secara perlahan tetapi semakin banyak di dalam badan," katanya. - Bernama

Share on Myspace