Banjir: Harakah sasar Misi Bantuan Kemanusiaan kedua

MUHAMMAD FAIZAL | FOTO WAN ZAHARI | .

KUALA LUMPUR: Kejayaan Misi Bantuan Kemanusian pada 16 dan 17 Januari lalu di Manek Urai, Harakah mensasarkan siri kedua misi itu bagi tujuan membaikpulih Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) pula.

Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakop ketika ditemui di pejabatnya berkata selain membaikpulih Pasti, pihaknya akan cuba menyediakan beberapa barang keperluan seperti yang diminta oleh mangsa-mangsa banjir.

"Kita sekarang dalam perancangan untuk misi kedua dan ia lebih tertumpu kepada kerja-kerja membaikpulih pusat pembelajaran Pasti di Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama.

"Sasaran untuk misi kedua ini selewat-lewatnya akhir bulan ini agar kanak-kanak dapat memulakan pembelajaran mereka dengan lebih selesa.

"Antara fokus kita adalah membaiki struktur bangunan yang telah rosak, membersih termasuk mengecat semula bangunan Pasti itu dan kita akan turut menyediakan meja, kerusi serta buku-buku," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang turut sama dalam Misi Bantuan Kemanusian siri pertama lalu berpuas hati dengan gerak kerja misi bantuan itu mengedar barangan makanan kepada golongan sasar.

"Selama dua hari kita memasuki kampung-kampung pedalaman, saya berpuas hati dengan gerak kerja sukarelawan kita kerana menepati sasaran yang dikehendaki.

"Tumpuan kepada kawasan pedalaman adalah suatu yang baik kerana masih ada antara mereka tidak mendapat barang keperluan jika dibandingkan mereka yang berada di kawasan luar atau tepi jalan utama," tambah beliau.

Dr Rosli yang turut membuat tinjauan pada misi tersebut turut mendapati kebanyakan mangsa banjir memerlukan keperluan seperti tilam, selimut, bantal, kelambu serta peralatan dapur.

"Selain kerja membaikpulih pada misi akan datang, kita akan cuba membawa barang keperluan yang dikehendaki mangsa-mangsa banjir.

"Kita berharap apa yang mereka perlukan dapat kita penuhi," ujar beliau lagi. - HARAKAHDAILY 20/1/2015

Share on Myspace