'Maaf, ini saja yang tinggal untuk mak cik'

SALMIYAH HARUN | .

KEHIDUPAN mesti diteruskan selagi boleh bernafas walaupun pelbagai rintangan dan ujian Maha Esa yang mendatang. Lebih teruk lagi apabila Allah SWT menguji hambanya dengan meranapkan sekaligus harta benda serta rumah yang menjadi tempat berlindung panas dan hujan. Inilah yang sedang dihadapi oleh penduduk di Kelantan terutama di Kuala Krai dan Gua Musang akibat banjir besar baru-baru ini.

Mereka tidak bersendirian. Ramai di luar sana cukup simpati dengan musibah yang menimpa mereka. Bantuan daripada segenap sudut datang bertali arus sejak bencana besar ini menimpa penduduk sehinggalah saat ini.

Harakah juga tidak melepaskan peluang menjalankan tanggungjawab sosialnya bagi menyantuni penduduk di beberapa buah kampung yang keseluruhan musnah, di Manek Urai Lama, Kampung Manjung, Pemberian dan Laloh.

Tidak dinafikan peranan NGO cukup memberangsangkan dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa, kelihatan kenderaan seperti  lori, 4x4, MPV  tidak putus-putus keluar masuk ke kampung-kampung bagi menyampaikan bantuan tidak lebih daripada bantuan makanan.

Dengan peruntukan sebanyak RM60,000 Harakah berjaya mengagih-agihkan barangan makanan dan keperluan harian, keperluan wanita dan pakaian seragam sekolah kepada penduduk di kawasan terbabit pada 16 dan 17 Januari baru-baru ini.

Pasukan Harakah yang dianggotai seramai 20 kakitangannya membawa barangan bantuan dengan empat buah kenderaan 4x4, sebuah lori 3 tan, dan MPV masuk ke kampung-kampung bagi mengagihkan barangan yang diamanahkan. Janji barangan ini sampai kepada mereka yang berhak.

Sebaik Misi Bantuan Kemanusiaan Harakah tiba di Stesen Keretapi Limau Kasturi, berduyun-duyun penduduk menyerbu kenderaan kami untuk mendapatkan bekalan yang kami bawa.

"Beras ado? Kito nak beras ni, beras habis doh?" sapa seorang suri rumah kepada kami sebaik sahaja kami memakirkan kenderaan di tepi landasan keretapi.

"Maaf mak cik, beras kami tak bawa. Ini sahaja yang kami bawa," jawab salah seorang daripada pasukan kami.

Mendengar sahaja jawapan kami, makcik itu seperti orang tidak berpuas hati dan menanyakan lagi kepada rakan-rakan kami yang lain.

Kami berasa bersalah apabila barang yang diperlukan pula tidak kami sediakan begitu juga dengan lampin pakai buang. Kebanyakan barangan ini berada di dalam lori yang ketika ini sedang berada di Laloh.

Mungkin kerana sudah terbiasa dengan senang untuk mereka mendapatkan bekalan. Dengan hanya menunggu kehadiran NGO yang membawa barangan mereka boleh dapat apa sahaja yang mereka perlukan.

Ada juga penduduk yang "mudah baso, senang kiro" dan menerima sahaja apa yang NGO seperti kami hulurkan. Tidak meminta-minta. Apa yang kami bawa itulah rezeki mereka.

Seorang mak cik berusia 76 tahun yang dikenali sebagai mak cik Esah (kanan) mempunyai tiga orang anak tiba di kenderaan kami agak lambat dan tidak banyak barang yang dia dapat.

Tetapi dia berterima kasih walaupun hanya mendapat tiga botol air mineral 1 liter, satu plastik barangan makanan seperti gandum, biskut, sardin, mi segera, bihun dan gula dan tiga kotak lilin.

"Maaf mak cik, ini sahaja yang tinggal untuk mak cik," ujar kami sebaik sahaja mak cik menuju ke kenderaan kami.

Mak cik Esah sering lewat mendapatkan bekalan kerana rumahnya jauh ke dalam dan beliau terpaksa menyeberangi landasan keretapi untuk sampai ke tempat kami. Beliau mempunyai anak dan ketika itu anak-anaknya keluar menoreh. Ada juga usaha untuk mendapatkan duit walau sesen dua.

Sebelum itu, kami tidak menang tangan melayan segerombolan 'adik kakok' yang mengerumuni kenderaan kami. Kami hulurkan apa sahaja  yang ada. Tidak kira siapa kami bagi. Ada juga lebih dua kali  datang kepada kami, sehingga kami perasan orang yang sama datang meminta apa sahaja yang masih bersisa di atas kenderaan kami.

Malah ada pasukan kami ternampak, satu keluarga datang dengan tiga orang anak masing-masing membimbit beg plastik makanan yang kami agihkan kemudian hilang di sebalik keretapi yang tersadai. Dan timbul semula di perkarangan kenderaan kami kemudian membimbit sekali lagi, juga hilang di sebalik keretapi. Kami bersangka baik, mungkin ramai anak-beranak mereka.

Sehinggakan ada bangsal penduduk seperti kedai runcit. Barangan bantuan bersusun-susun di dalamnya. Sekali lagi bersangka baik, mungkin stok makanan ini untuk tempoh enam bulan untuk mereka sebelum kehidupan mereka kembali pulih.

Menerima apa sahaja yang diberi. Sudah dapat bahagiannya terus tidak minta lagi. Sikap ini harus dipuji. Tetapi tidak ramai bersikap seperti ini.

"Takpe, takpe. Saya sudah dapat beg plastik ini. Abang bawa balik tadi," kata salah seorang penduduk di Kampung Pemberian yang menolak beg plastik kami kerana sudah menerimanya.Tetapi kami terfikir bila masa beg ini diserahkan kepadanya. Oleh sebab dia menolak kami agihkan kepada yang lain.

Memang hasrat pasukan kami ingin menyerahkan sumbangan kepada setiap orang, biar semua dapat. Kami tidak sekali-kali melonggokan di satu-satu tempat kerana kami tidak percaya walaupun ada yang sanggup untuk mengagihkannya.

Di kampung Batu 4,5,6 Gua Musang, seorang kakak yang dikenali sebagai Kak Su (kiri) yang tinggal di kampung seberang mengalu-alukan kedatangan kami menyerahkan sumbangan kepadanya.

"Biasa orang bagi bantuan letak sini jah. Rumah kita jauh (seberang) kena lalu jambatan ni, bilo sapa barang tak dok. Baguslah bagi barang terus pada kito," ujarnya yang bekerja sebagai penoreh getah.

Sejak jambatan runtuh, lebih kurang 40 keluarga terputus hubungan dan terpaksa menggunakan jambatan keretapi sebagai laluan utama, tetapi hanya boleh dilalui dengan motosikal sahaja.

Kedatangan kami sedikit sebanyak dapat meringan beban mereka yang menanggung derita pasca banjir walaupun dengan sedikit sumbangan. Bagaimanapun janganlah dengan keprihatinan dan keikhlasan NGO ini pula ada segelintir pihak mengambil kesempatan.

Tidak dapat dinafikan peranan NGO amat memberangsangkan, ucapan terima kasih NGO daripada penduduk terpampang megah di segenap penjuru kampung. – HARAKAHDAILY 20/1/2015

Share on Myspace