Banyak lagi program boleh ganti PLKN - Salahuddin

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyambut baik cadangan kerajaan yang menangguh pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk tempoh setahun yang dapat menjimatkan RM400 juta.

Beliau berpendapat dengan penangguhan itu memberi ruang kepada kerajaan untuk mengkaji semula keberkesanan PLKN pada keadaan sekarang.

"Saya rasa itu satu tindakan terbaik dilakukan kerajaan dengan menangguhkan PLKN kita dapat menjimatkan RM400 juta.

"Perkara ini telah lama kita bangkit, kerana kita melihat PLKN tidak memberi apa-apa kebaikan kepada kerajaan malah merupakan beban kepada kerajaan kerana kos yang tinggi," katanya kepada Harakahdaily.

Salahuddin turut meminta kerajaan mencari kaedah terbaru bagi menggantikan PLKN dengan program yang lebih berkesan yang dapat menjimatkan perbelanjaan.

"Banyak lagi program yang boleh dilaksanakan bagi menggantikan PLKN, tempoh penangguhan ini merupakan ruang yang amat sesuai untuk kerajaan mengenal pasti program atau kaedah baru," sambung beliau lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penangguhan PLKN itu pada Perutusan Khas Perkembangan Ekonomi Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada hari ini.

Beliau berkata dengan penangguhan ini, kerajaan dapat menjimatkan RM400 juta bagi tahun ini. - HARAKAHDAILY 20/1/2015

Share on Myspace