Uniform percuma untuk pelajar Pasti terjejas banjir

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (Pasti) Negeri Kelantan telah mengambil satu ketetapan untuk membekalkan secara percuma sepasang baju seragam bagi setiap orang pelajar di  100 cawangan Pasti yang terlibat dengan banjir.

Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan PASTI Negeri Kelantan Ahmad Fadhli Shaari dianggarkan pemberian secara percuma uniform Pasti ini melibatkan hampir 3,000 orang pelajar dengan kos sekitar RM100,000.00.

"Diharapkan agar dengan keputusan ini, ia dapat meringankan beban pihak ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke Pasti," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Katanya, pihak pengurusan Pasti telah membuat tinjauan terperinci ke seluruh cawangan-cawangan Pasti di negeri  dan mendapati sebahagian daripadanya terjejas teruk akibat banjir yang melanda baru-baru ini.

Sekalipun katanya, kadar kerosakannya berbeza-beza namun hakikatnya ia menyukarkan proses pembelajaran untuk sesi 2015 yang sepatutnya di mulakan minggu lepas.

Selain itu, tambah beliau, rumah-rumah kediaman keluarga pelajar Pasti termasuk juga guru-guru di kawasan yang terjejas juga turut menghadapi situasi yang sama.

Menyedari hakikat ini, Pasti Negeri Kelantan telah melancarkan Tabung Pemulihan Pasti Kelantan dua minggu lepas yang bertujuan untuk membaikpulih Pasti yang terjejas termasuk menampung kerja-kerja kebajikan membantu warga Pasti  yang menghadapi kesukaran akibat situasi ini.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 03102010002868 di atas nama PASTI Negeri Kelantan.

"Bagi pihak pengurusan Jabatan Pendidikan Pasti Negeri Kelantan, saya merakamkan ucapan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada kami untuk memastikan objektif pengajaran dan pembelajaran berlangsung dengan jayanya," katanya. – HARAKAHDAILY 20/1/2015

Share on Myspace