Altantuya: PAS mahu bantu Sirul dapat keadilan

| .

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar bersedia memberikan bantuan kepada Koperal Sirul Azhar untuk mendapatkan keadilan.

Mahfuz berkata, beliau tidak sesekali mempersoal keputusan mahkamah namun berpandangan, Sirul yang berhadapan hukuman mati berhak diberi ruang membuat penjelasan berhubung perkara sebenar.

"Sirul boleh hubungi saya dengan segera melalui telefon atau email, saya bersedia untuk bertemu beliau di mana-mana sahaja.

"Tindakan ini bagi membolehkan saya mendengar sendiri siapa sebenarnya dalang dan apa motif sebenar pembunuhan tersebut," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga berkata, beliau berasa terpanggil untuk bertemu Sirul apabila membaca kenyataan ibu Sirul yang sedih apabila anaknya tidak diberi keadilan.

"Saya tidak membela Sirul, cuma berasa terpanggil mendengar kenyataan ibu yang sayang kepada anak dan merasakan anaknya tidak diberikan keadilan.

"Menitis air mata saya membaca kenyataan itu. Justeru, saya mohon sekiranya Sirul membaca laporan ini silalah menghubungi saya, melalui apa cara sekalipun tak kisahlah telefon saya di nombor 019 442 2685, e-mel, Facebook atau WhatsApp," katanya.

Menurut beliau juga, kehilangan Sirul ke Australia juga menunjukkan kelompangan dalam sistem keselamatan negara sehingga membolehkan tertuduh bolos dan mendapatkan perlindungan daripada tindakan ekstradisi pihak kerajaan.

"Bagaimana tertuduh kes jenayah berat yang masih belum selesai kes perbicaraan boleh dengan mudah dibenarkan untuk ke luar negara.

"Tambahan pula wajah tertuduh sememangnya sudah lama dibiarkan menjadi misteri dan tidak dapat dicam oleh masyarakat umum," katanya lagi.

Pada 15 November 2006, Sirul dan Azilah dituduh membunuh Altantuya Shaariibuu, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara jam 10 malam, 19 Oktober 2006 dan 1 pagi 20 Oktober 2006 di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, yang membawa hukuman mati mandatori. - HARAKAHDAILY 19/1/2015 

Share on Myspace