PLKS: Jangan kambing hitamkan pegawai kerajaan

| .

KUALA LUMPUR: PKR mencabar Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengemukakan bukti mengenai dakwaan berlakunya rasuah antara kakitangan, bukannya menjadikan pegawai kerajaan dan orang tengah sebagai kambing hitam.

Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Pusat, Lee Chean Chung mengingatkan Wan Junaidi, isu pokoknya adalah monopoli pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) oleh MyEG.

Beliau merujuk kepada kenyataan Wan Junaidi berhubung pembaharuan PLKS secara atas talian mulai 15 Januari 2015 bertujuan menangani peranan orang tengah yang mengenakan caj berlebihan dan mengelakkan daripada menunggu lama dan rasuah antara kakitangan Imigresen.

Katanya, kenyataan Wan Junaidi itu seolah-olah beliau sendiri mengakui terdapat gejala rasuah yang wujud dalam kementerian beliau.

"Beliau juga sedar bahawa sistem yang sedia ada memang mengakibatkan kesesakan di kaunter, dan rakyat terpaksa menunggu lama di kaunter.

"Saya terkilan dengan tindakan Wan Junaidi selaku Timbalan Menteri yang menunding jari terhadap kementerian sendiri.

"Persoalannya, mengapakah tiada sebarang tindakan proaktif diambil oleh beliau serta menteri Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri selama ini?," soal beliau kepada Harakahdaily.

Sebagai menteri yang profesional dan bertanggungjawab, katanya, bukan sukar untuk mereka mengambil pendekatan proaktif bagi menangani isu ini seperti menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengenakan hukuman yang berat terhadap mereka yang bersalah serta memupuk kesedaran dan kefahaman mengenai tata etika kerja penjawat awam.

"Wan Junaidi juga sedar bahawa kaunter yang sedia ada mengalami kesesakan yang serius sehingga memberikan ruang kepada orang tengah untuk mengaut keuntungan.

"Persoalannya, mengapakah tiada sebarang penyelesaian diambil sebelum ini bagi meningkatkan kecekapan lalu lintas serta meringkaskan proses pembaharuan?"ujarnya yang juga Adun Semambu. 

Beliau juga mempersoalkan mengapa kementerian tidak boleh menerokai sistem atas talian, tetapi sanggup disumberluarkan kepada syarikat swasta yang kemudiannya mengaut keuntungan durian runtuh mencecah RM400 juta.

Bahkan katanya, bekas Ketua Penerangan Umno Pulau Pinang Dato’ Raja Haji Munir Shah mendapat keuntungan atas kertas melebihi RM130 juta dan ini belum lagi mengambil kira risiko kebocoran maklumat sensitif yang perlu ditanggung oleh rakyat dan negara.

"Saya menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tuduhan yang tidak bertanggungjawab, dan telah menjejaskan imej kementerian dan negara.

"Ia seolah-olah memberikan gambaran bahawa semua kakitangan kementerian tersebut terjebak dalam budaya rasuah," katanya.

Justeru beliau mendesak kabinet membuat keputusan membuka semula kaunter imigresen supaya majikan dan rakyat berhak membuat pilihan sendiri. - HARAKAHDAILY 20/1/2015

Share on Myspace