Solat hajat, doakan kesihatan Tok Guru Nik Aziz kembali pulih

HARAKAHDAILY | .

PETALING JAYA: Datuk Dr Haron Din menyeru umat Islam mengadakan solat hajat dan mendoakan agar kesihatan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kembali pulih.

Timbalan Mursyidul Am PAS itu menyatakan demikian kepada Harakahdaily selepas menyampaikan Kuliah Maghrib Perdana di Masjid Kota Damansara, dekat sini malam ini.

Beliau dimaklumkan tahap kesihatan bekas Menteri Besar Kelantan itu kurang memuaskan petang tadi.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar mendapatkan maklumat yang sahih berhubung perkembangan kesihatan Tuan Guru.

Sementara itu, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berangkat menziarahi Tuan Guru Nik Abdul Aziz di HUSM malam ini.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob menyatakan mengikut doktor yang merawat Tuan Guru Nik Abdul Aziz keadaan beliau stabil ketika ini.

"Saya baru berkunjung ke HUSM menziarahi YB Tok Guru, mengikut doktor yang merawatnya keadaan beliau stabil ketika ini, teruskan utus doa diberi kesembuhan kepada beliau," tulis beliau menerusi facebook malam ini.

Tabahnya, perkembangan kesihatan Tok Guru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh pihak hospital dan keluarganya.

Turut bersama beliau sekejap tadi ialah Presiden dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Datuk Mustafa Ali. - HARAKAHDAILY 20/1/2015

Share on Myspace