Generasi kedua disaran contohi pejuang Felda

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

TEMERLOH: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menyeru generasi baru Felda teruatama yang telah berjaya hari ini supaya menghargai perjuangan tokoh-tokoh terdahulu.

Beliau berkata, tokoh-tokoh terdahulu adalah kelompok asal yang awal merasai segala kesukaran dan suka duka memperjuangkan hak peneroka.

Menurutnya, mereka adalah peguam, bekas kakitangan Felda dan peneroka yang gigih dan istiqamah hingga ke akhir hayat menempuh segala rintangan dengan sabar dan tidak berganjak walau sedikit pun.

“Daripada isu sebelum sistem blok, perjuangan mendapat hak milik hingga kepada tanam semula. Kemampuan mereka berada di barisan hadapan sangat hebat dan konsisten hingga ke akhir hayat amatlah luar biasa.

“Ujian dan tekanan yang mereka hadapi tidak sama dengan generasi kedua lalui kerana segala kenikmatan yang dikecapi oleh warga Felda hari ini boleh dikatakan hasil perjuangan mereka,” tegasnya yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat.

Mazlan berkata demikian selepas membuat lawatan pasca banjir ke atas keluarga bekas aktivis-aktivis Felda di Pahang. Ziarah tersebut katanya, sebagai tanda ingatan dan menghargai perjuangan tokoh-tokoh Felda.

Antaranya beliau melawat balu arwah Abd Wahab Siran, Rokiah Zainal, 65, di Jengka 15, balu arwah Abd Malik Yusof, Asmah Ibrahim, 58, di Simpang Tebing Tinggi, Jerantut dan balu arwah Ust Manaf Othman di Jengka 2.

Turut diziarahi ialah balu Suhaimi Said (peguam) Hendon Jaafar, 68, di Paya Pulai, bersama Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Presiden Anak Aris Faizul Ismail.

Mazlan berkata, generasi kedua adalah pewaris yang telah berada dalam suasana persekitaran lebih baik kerana geran hak milik telah diperolehi, tanam semula telah selesai dan infrastruktur sudah lengkap.

“Sebab itulah mereka seharusnya menyambung perjuangan tokoh dahulu untuk mendapatkan hak yang lebih baik seperti menguruskan kebun mereka sendiri, merasai pendapatan lebih adil seperti tuntutan Kadar Perahan Gred (KPG) yang lebih tinggi, penyelesaian hutang piutang yang munasabah dan penyertaan lebih ramai dalam pembangunan syarikat Felda.

“Sudah sampai masanya Felda diurus oleh cerdik pandai anak peneroka yang mempunyai roh atau hubungan langsung degan kehidupan di Felda. Dari jawatan Pengerusi Felda dan anak-anak syarikat seharusnya sudah diberikan kepercayaan.

“Saya kira dalam agensi-agensi Felda, seharusnya dilibatkan generasi kedua dan ketiga secara langsung sebagai pembuat dasar, bukan lagi pekerja rendah yang sifatnya menurut perintah semata mata,” katanya.

Mazlan berkata, meskipun pihaknya bersetuju dengan proses transformasi Felda sebagai sesuatu yang normal, tetapi ia tidak boleh mengorbankan hak dan kepentingan peneroka kerana mereka mereka merupakan tuan tanah 10 ekar.

“Kenapa mereka harus diketepikan sepertimana isu Felda Global Ventures Holding (FGV) yang akhirnya menemui kegagalan dan kerugian FGV terpaksa di tanggung oleh peneroka dan generasi kedua.

“(Tan Sri) Isa Samad dan para kroni boleh pergi, tetapi tidak bagi peneroka. Mereka ada tanah dan rumah yang diwariskan kepada anak cucu. Kegagalan urustadbir Felda dari dasar yang silap, membawa padah buat suatu jangka masa yang panjang,” katanya.

Justeru katanya, kepada generasi kedua ambillah iktibar daripada apa yang berlaku, untuk teruskan perjuangan dan mengembalikan semula hak dan kepentingan para peneroka. - HARAKAHDAILY 21/1/2015

Share on Myspace