Krisis Umno: Najib balas secara senyap

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Krisis dalaman Umno makin lama makin membarah. Terkini, Tun Daim turut terheret dalam kem pro Mahathir lawan kem pro Najib.

Tidak cukup dengan Tun Mahathir, Tun Daim turut mengkritik pentadbiran Najib. Kedua-dua pemimpin ini dianggap berada dalam kelas berat dan mampu mencederakan Najib.

Namun, walaupun diserang daripada pelbagai sudut, Najib dilihat tidak membalasnya secara terbuka dan terus diam seribu bahasa. Keadaan ini menyebabkan makin ramai yang meluat dakwa Shahbudin Husin dalam blognya shahbudindotcom.blogspot.com.

“Belum ada sepatah perkataan pun keluar daripada mulutnya mengenai perkara ini, meski semua orang tahu media arus perdana adalah dibawah kawalannya,” ulas Shahbudin.

Namun pada masa yang sama media arus perdana menyerang dan memalukan bekas Menteri Kewangan, Daim sehingga SPRM juga sudah terbuka untuk menyiasat kekayaannya.

Daim bukanlah yang pertama dan terakhir.

“Selepas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan yang membuat laporan polis mengenai 1MDB tetapi kemudian dirinya "ditelanjang" dan "diselongkar" sehingga kes muflisnya didedahkan serta rumahnya terjual, serangan terbuka kepada Daim jelas memperlihatkan kecenderungan ke arah yang sama,” selar Shahbudin lagi.

Oleh itu Shahbudin mahu Najib tampil untuk menjelaskan sekurang-kurangnya tiga persoalan.

“Pertama, beliau perlu menjelaskan apakah mengetahui permainan yang sedang dicatur oleh pegawai dan para penasihatnya, terutama oleh individu yang bernama HR mengenai serangan terhadap Daim melalui media arus perdana itu?

“Kedua, jika mengetahui, apakah beliau merestui semua tindakan yang dilakukan oleh para pegawai dan penasihatnya itu, manakala kalau di luar pengetahuannya pula, kenapa setelah heboh diperkatakan, masih juga berdiam diri mengenainya?

“Ketiga, apakah selepas Daim, bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan anak-anaknya pula merupakan sasaran seterusnya untuk dimalukan melalui media arus perdana atau turut diseret kepada siasatan SPRM?” tulis Shahbudin.

Shahbudin mahu Tiga persoalan ini penting untuk dijawab dan dijelaskan oleh Najib kerana ahli-ahli Umno seluruh negara ingin mengetahui hakikat sebenar mengenainya.

Sekarang ini, ramai yang keliru di sebalik sikap berdiam dirinya itu, dalam masa yang lebih ramai sebenarnya yang meluat dengan cara serangan yang dilakukan keatas Daim ini.  

“Mereka mengatakan ini bukan cara yang betul melayan bekas pemimpin yang cuba menegur dan memperbaiki keadaan dalam Umno dalam negara.

“Teguran kepada Najib, kata mereka, tidak dapat dielakkan kerana kepincangan dan kelemahan dalam mengurus parti dan negara begitu ketara sehingga kesannya dapat dirasai oleh rakyat jelata,” tulisnya lagi.

Bagi Shahbudin, di sinilah pentingnya Najib tampil dengan penjelasannya. Sebagai pemimpin, beranilah berkata benar dan jangan bersikap baling batu sembunyi tangan. Kalau mengetahui dan merestuinya, berdirilah dengan penuh tanggungjawab sebagai seorang yang berani.

Jika semua itu di luar pengetahuannya dan hanya kerja-kerja pegawai dan penasihatnya saja, segeralah menghentikannya sebelum ia memberi lebih banyak masalah kepada Umno dan juga dirinya sendiri.

“Namun, berdiam diri dan bisu seperti selalu bukan lagi pilihan ketika ini,” tegas Shahbudin. – HARAKAHDAILY 21/1/205

Share on Myspace