Kerajaan tangguh bukti benar PR kata PLKN membazir

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ketua DAPSY, Teo Kok Seong mengalu-alukan keputusan pengumuman kerajaan pusat untuk menangguhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi tempoh setahun demi mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan pusat.

"Pada masa yang sama, saya turut merasakan ini merupakan suatu masa yang paling sesuai untuk mengkaji semula keperluan PLKN, sama ada ia wajar diteruskan ataupun terus dihentikan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Ini, katanya kerana penangguhan PLKN untuk sesi tahun 2015 telah menunjukkan bahawa pihak kerajaan sendiri pun berpendapat bahawa program tersebut sebenarnya boleh dihentikan atau dimansuhkan demi menjimatkan perbelanjaan sejumlah RM400 juta.

Menurutnya, keputusan untuk menangguhkan PLKN selama setahun telah membuktikan bahawa kritikan dan persoalan pimpinan Pakatan Rakyat selama ini terhadap PLKN yang kelihatan membazir sumber kerajaan adalah benar dan tepat.

Ahli Parlimen Rasah itu berkata, cadangan menghentikan PLKN oleh Pakatan Rakyat sebelum ini sepatutnya diterima oleh pihak kerajaan dengan hati yang terbuka.

Selama ini, kata beliau kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM550 juta sehingga RM650 juta setiap tahun untuk menampung perbelanjaan PLKN.

"Walaupun program ini melibatkan perbelanjaan yang amat besar, namun hasilnya tidak begitu baik," ujarnya lagi.

Katanya lagi, pihak Kerajaan Pusat wajar mengkaji untuk tidak meneruskan PLKN dan menggantikannya dengan aktiviti ko-kurikorum atau aktiviti badan beruniform yang sedia ada di semua sekolah.

Ini, tambahnya akan dapat mengurangkan kos dan membolehkan kerajaan pusat untuk memberi lebih tumpuan kepada program yang menjaga kebajikan rakyat.

Walau bagaimanapun, ujar beliau pihak kerajaan pusat haruslah memastikan kebajikan semua pegawai atau kakitangan di PLKN terbela dan diberi tugas yang berkaitan di tempat atau bidang yang bersesuaian. - HARAKAHDAILY 21/1/2015

Share on Myspace