Duta sampai hasrat Pemuda PAS kepada Perancis

SALMIYAH HARUN | FOTO WAN ZAHARI | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menuntut kerajaan Perancis memperbanyakkan dialog bagi memahami agama-agama lain khususnya Islam adalah satu agama yang mewajibkan keamanan, perdamaian dan kesejahteraan.

Tuntutan itu disampaikan ketika dalam pertemuan mereka dengan kedutaan Perancis di sini hari ini berkaitan isu majalah Charlie Hebdo.

Pertemuan yang diketuai oleh ketuanya, Suhaizan Kaiat juga menuntut agar Kerajaan Perancis mengambil tindakan terhadap Charlie Hebdo supaya tidak berlaku lagi penghinaan sebaliknya menyebarkan kehidupan harmoni di seluruh dunia.

Pemuda PAS juga menegaskan, Islam menolak penghinaan kepada agama lain termasuk agama Kristian, Buddha dan lain lain.

"Sebarang penghinaan kepada agama lain juga akan ditentang. Kami mewakili rakyat Malaysia  mengutuk tindakan provokasi majalah Charlie Hebdo yang menghina Rasulullah SAW melalui karikatur," katanya kepada Harakahdaily.

Manakala wakil Kedutaan Perancis yang diwakili oleh timbalan duta, Mr Florance Mayol dan Setiausahanya Demien Syed memberi respons terhadap persoalan yang dikemukakan.

Mereka menegaskan majalah Charlie Hebdo bukan media milik kerajaan tetapi media swasta yang dimiliki oleh golongan kiri.

Katanya, terbitan mereka hanya 20,000 sekali keluaran menunjukkan tidak ramai yang membaca majalah tersebut.

"Majoriti rakyat Perancis tidak bersama Charlie Hebdo," katanya dalam pertemuan itu.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Perancis ada batas-batas tertentu untuk bertindak, namun permintaan Pemuda PAS supaya diperbanyakkan dialog akan disampaikan kepada kerajaan Perancis.

Turut bersama dalam pertemuan itu, Timbalan Ketua Pemuda Khalil Abdul Hadi, Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dr Raja Iskandar, Ketua Penerangan Mohd Nasaie Ismail dan Exco Pemuda Zulkarnain Zaki. - HARAKAHDAILY 21/1/2015

Share on Myspace