Tubuh jawatankuasa khas tangani krisis ekonomi negara

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat jangan sombong dan perlu menubuhkan jawatankuasa khas dalam menangani krisis ekonomi berikutan penurunan harga minyak dan nilai ringgit.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata jawatankuasa itu perlu dianggotai kedua-dua wakil parti pemerintah dan pembangkang serta pakar, ahli akademik termasuk rakyat.

Katanya, Kerajaan Pusat sepatutnya belajar menghormati pandangan mereka yang bukan daripada Barisan Nasional (BN).

“Pembangkang juga mahukan yang terbaik untuk negara ini,” katanya yang juga Exco Kerajaan Selangor dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kerajaan mesti juga mengakui bahawa mereka berhadapan dengan krisis dan tidak menafikannya

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelarasan strategi dalam Belanjawan 2015 bagi menangani perubahan ekonomi semasa.

Beliau turut mensasarkan defisit sebanyak 3.2 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Najib dalam pengumumannya berkata Malaysia tidak berdepan krisis ekonomi dan situasi kali ini tidak boleh disamakan dengan krisis pada tahun 1997 dan 1998.

Share on Myspace