Tok Guru berbahasa Urdu dengan tamu hari ini

DATUK HUSAM MUSA | .

Hati saya girang.

Semalam Tok Guru tidak sedar, kerana rawatan yang perlu diberikan.

Saya hanya mengintai beliau yang terbaring di bilik no 6 di Wad Delima, HUSM dari luar kamar seawal jam 5.30 petang setiba dari Kg Kemubu, K Krai sebelum pulang menjelang Maghrib.

Selepas membaca surah Yaasin beberapa kali, saya pulang sambil 'berjanji' dengan Tok Guru, kita akan bercakap-cakap nanti.

Tengah hari ini, selepas memberikan salam, mata yang dipejam dibuka.

Tangannya yang lemah diangkat sedikit untuk saya cium.

Bersama saya adalah ulama anak kepada ulama besar dari Lahore, Maulana Muhammad Muzair Putera Maulana Muhammad Musa Nazii.

Maulana Muzair berbahasa urdu, disambut oleh Tok Guru juga dengan bahasa Urdu!

Sambil bertanya bila tiba, disambut Maulana beliau pernah menziarahi Tok Guru empat tahun yang lalu.

Setelah kami keluar, adik beliau, Maulana Nuzair masuk ditemani Imam Masjid Kubang Kerian.

Bapa mereka antara lain mengarang syarah Sunan Tarmizi sebanyak 40 jilid, syarah Tafsir Baidhawi - 50 jilid, Ismul A'zam - dua jilid dan berpuluh kitab yang lain, termasuk 190 jawapan terhadap isu selawat Ibrahimi samada Nabi Ibrahim a.s lebih mulia dari Nabi Muhammad s.a.w bila mana kalimat 'kama sallaita 'ala Saiyidina Ibrahim' digunakan.

Ketika bapanya telah menyiapkan empat puluh jawapan, beliau bermimpi Nabi Ibrahim a.s datang memberitahu beliau, jawapan yang ditulis sehingga itu belum pun sampai separuh dari jawapan yang ada.

Saya gembira dapat mempertemukan mereka dengan Tok Guru. Gembira Tok Guru masih mampu berbicara dengan tamu dan kami dapat berkata-kata...

Ayahanda Tok Guru DOA kami untukmu.

# Gambar bersama dua Maulana di ruang tamu Wad Delima selepas mengunjungi Tuan Guru.

Share on Myspace