Doktor dibuli, alami tekanan perasaan

| .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar bimbang wujudnya budaya buli dalam kalangan doktor senior terhadap doktor junior atau doktor housemen.

Beliau berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima daripada beberapa doktor housemen termasuk ibu bapa mereka, mereka mengakui doktor housemen yang menjalani latihan di Hospital Raja Permaisuri Ipoh mengalami tekanan kerja yang sangat teruk.

Mereka mendakwa suasana kerja yang amat menekan ini menyebabkan mereka mengalami tekanan emosi dan hilang minat untuk bekerja.

Masalah ini juga boleh menjejaskan prestasi dan kualiti doktor-doktor yang kita hasilkan kelak.

"Saya agak berkeberatan untuk menggunakan perkataan 'membuli' terhadap doktor-doktor yang lebih senior terhadap doktor-doktor junior ini.

"Walau bagaimanapun, artikel yang saya baca dalam akhbar The Star dan aduan terus daripada mereka yang terlibat telah mendorong saya menggunakan perkataan tersebut," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata, sikap membuli atau menekan doktor-doktor housemen ini akan merugikan kita bersama jika mereka mengambil keputusan untuk meletak jawatan dan mencari pekerjaan lain.

Menurut Timbalan Pengerusi DAP Perak itu juga, beliau pernah membangkitkan isu mengenai masalah doktor-doktor housemen ini di Dewan Rakyat pada 12 November 2014.

Beliau meminta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam menjelaskan samada kerajaan pernah mengeluarkan satu perintah atau order kepada semua hospital kerajaan bahawa masa bekerja untuk doktor-doktor housemen adalah 60 jam sahaja dalam seminggu.

Beliau juga ingin mengetahui samada perintah itu juga ada menyebut tentang cuti dua hari bagi doktor-doktor housemen yang telah berkerja 'on call'.
Jika ya katanya, adakah perintah itu dilaksanakan di Hospital Raja Permaisiri Bainun Ipoh dan hospital-hospital kerajaan yang lain.

"Saya difahamkan doktor-doktor housemen ini kerap kali dikehendaki bekerja 70 hingga 80 jam seminggu dan tidak diberi cuti dua hari setelah mereka bekerja 'on call'.

"Dalam jawapan yang diberikan oleh Menteri Kesihatan saya mendapati beliau cuba mengelak daripada menjelaskan perkara yang saya bangkitkan itu.

"Beliau langsung tidak mahu menjawab tentang surat perintah yang dikeluarkan oleh pihak kementeriannya sendiri," katanya.

Tambah beliau, beliau juga masih tidak menerima apa-apa jawapan bertulis daripada Menteri Kesihatan berkaitan dengan perkara yang dibangkitkan.

Selain itu katanya, menteri juga gagal memberi maklumat mengenai jumlah doktor housemen yang telah menamatkan perkhidmatan, iaitu diberhentikan oleh kementerian ataupun berhenti dengan secara rela hati sejak tahun 2010 hingga tahun 2014. - HARAKAHDAILY 21/1/2015

Share on Myspace