Rumah percuma kepada mangsa banjir bermula

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Banjir di Negeri Kelantan walaupun meninggalkan kesan yang perit dan memusnahkan ribuan kediaman serta harta benda yang lain, namun dari sudut lain ia menjadi lokasi transit dan bertandangnya ramai sukarelawan dari dalam dan luar negara membawa bantuan serta bekalan.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, hal sebegitu sedikit sebanyak menjadi pengubat kepada bebanan yang ditanggung.

"Sebelum ini saya telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri telah mengambil tanggungjawab untuk membina 600 unit rumah tiga bilik berukuran 800 kaki persegi kepada mangsa banjir yang musnah rumah mereka seratus peratus (total loss)," ujarnya dalam satu kenyataan.

Hari ini, jelasna pihak kerajaan negeri telah memulakan kerja membina rumah kekal kepada mangsa banjir di Berangan Mek Nab, Machang yang telah dimasyhurkan dengan nama Desa Rahmat dalam jumlah 50 unit rumah.

Rumah kekal itu, ujar beliau adalah percuma untuk rakyat yang menjadi mangsa banjir dan rumah mereka musnah keseluruhannya.

"Insya Allah dengan kekuatan agensi kerajaan negeri yang ada kita pastikan sejumlah 600 unit dapat dibina dengan jayanya," uja beliau.

Dalam masa yang sama, jelas beliau kerajaan negeri turut mengenal pasti rumah-rumah yang masih boleh didiami yang mengalami kemusnahan harta benda untuk dibaiki semula dengan diselaraskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Banjir yang dipengerusikan bersama oleh kerajaan negeri dan Pusat bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pemilik rumah tersebut. - HARAKAHDAILY 21/1/2015

Share on Myspace