Alhamdulillah, moga kembali sihat - Tuan Guru Nik Aziz

HARAKAHDAILY | .

 KUALA LUMPUR: "Setiap kali sedar beliau akan bertanya mengenai waktu solat dan minta diperdengarkan bacaan al-Quran oleh ahli keluarga," tulis Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Beliau menyatakan demikian menerusi facebook malam tadi mengenai perkembangan kesihatan ayahandanya yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Perkembangan Kesihatan Ayahanda

Petang dan malam ini, ayahanda berkeadaan baik. Para doktor berusaha memastikan ayahanda minum lebih banyak untuk menambah tenaga dan garam dalam tubuh yang agak menurun.

Beliau acap kali sedar, mampu bertanya khabar. Setiap kali sedar beliau akan bertanya mengenai waktu solat dan minta diperdengarkan bacaan al-Quran oleh ahli keluarga. Beliau beberapa kali menegur bacaan yang silap.

Ada antara tetamu yang hadir berpeluang berkomunikasi dengan ayahanda. Semasa saya bercakap dengannya, saya sampaikan salam daripada beberapa pemimpin parti dan negara yang menghubungi saya. Saya juga nyatakan bahawa seluruh rakyat Malaysia sedang mendoakan untuk ayahanda.

Ayahanda dalam wajah ceria menjawab, "Alhamdulillah, moga kembali sihat".

Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Anakanda
21 Januari 2015/1 Rabiul Akhir 1436H
1135 pm

Share on Myspace