Charlie Hebdo: Taktik operasi ‘false flag’ - Ron Paul

IZWAN ABDUL HALIM | .

SUNGAI PETANI: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah menyifatkan media Perancis, Charlie Hebdo tidak bersendirian membina jaringan menghina Islam dan Nabi Muhammad atas nama kebebasan bersuara dan intelektual.

Ketua Penerangannya, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, walaupun ia bukan suara majoriti rakyat Perancis, tetapi ia mewakili kaum kiri yang melakukan kritikan melulu serta memiliki penyokong terhad.

Menurutnya, sikap sekular dan musawah secara borong sejak Revolusi Perancis 1790-an telah mengakibatkan lahirnya penerbitan satira seperti itu.

Hinggakan di Eropah katanya, bukan sebuah malah ratusan majalah, digest dan akhbar yang mengambil peluang menghina Islam melalui karikatur, penulisan dan komik.

Rentetan itulah dakwa Ustaz Tarmizi, telah mengundang tragedi serangan terhadap pejabat Charlie Hebdo di Paris hingga meragut 12 nyawa pada 7 Januari lalu.

“Kami berpandangan serangan tersebut dilakukan oleh pihak yang masih kabur identiti dan motifnya. Kini telah jadi ‘bola tanggung’ pihak Barat yang anti Islam untuk mengganas pula terhadap komuniti Islam di Eropah.

“Masjid menjadi sasaran sebagaimana menurut AFP, tiga bom dilontar ke masjid di Bandar Le Mans, barat Paris,” ujarnya kepada Harakah hari ini.

Tegas beliau, Kerajaan Malaysia jangan hanya melaungkan wasatiyyah dengan hanya menyelar serangan tersebut, sebaliknya perlu juga tegas menyatakan bahawa sebab keganasan seperti itu adalah apabila Nabi Muhammad SAW dihina dengan pelbagai cara.

Jelasnya, itulah isu pokok yang perlu ditegaskan dan bukannya mengiakan lidah Amerika dengan mengangkat isu serangan semata-mata.

Menurut Tarmizi, Pemuda PAS Kedah turut bersetuju dengan kenyataan bahawa serangan tersebut adalah dirancang seperti adegan filem dan dakwaan tentera Zionis dalam Kerajaan Perancis mungkin terlibat dalam serangan tersebut lalu mengkambinghitamkan pihak lain.

Beliau juga bersetuju memetik pandangan bekas Ahli Kongres Amerika, Ron Paul bahawa kejadian itu adalah operasi ‘false flag’ di mana menggunakan taktik sama seperti insiden serangan 9/11 yang telah banyak dikupas penipuannya.

“Kini kebebasan bersuara seolah-olah menjadi tuhan di banyak negara sekular. Atas nama kebebeasan bersuara, kebanyakannya menghala senjata menembak umat Islam dengan siri penyiaran menghina Nabi SAW dan Islam. Mengapa hanya menghina Islam?

“Kami juga menolak sebarang penyiaran yang menghina mana-mana agama. Penghinaan seperti ini dilarang oleh agama Islam. Ini satu perencanaan menjentik emosi dan menjadikan kemarahan umat Islam sebagai bahan bakar untuk memerangi umat Islam atas nama keganasan.

“Inilah yang sedang dilakukan Barat terhadap umat Islam. Oleh itu Pemuda PAS Kedah menyeru diadakan solat hajat dan disuarakan bantahan di setiap masjid. Nyatakan bantahan dan ingatilah bahawa ini adalah konspirasi Barat untuk terus memalitkan wajah Islam dengan keganasan.

“Islam tidak pernah membenarkan keganasan dan tidak mengiakannya. Sebaliknya Islam memusuhi keganasan. Hakikatnya keganasan global hari ini sebahagiannya ditaja dan dilakukan kuasa besar dunia ke atas negara-negara umat Islam,” ujarnya menyatakan kekesalan. – HARAKAHDAILY 22/1/2015

Share on Myspace