Bekas duta jadi tebusan Tupac Amaru meninggal dunia

BERNAMA | .

PETALING JAYA: Bekas Duta Besar Malaysia di Peru Datuk Ahmad Mokhtar Selat meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Rabu malam, akibat barah.

Ahmad Mokhtar, 66, meninggal dunia pada 7.40 malam setelah tiga minggu dimasukkan ke PPUM, menurut anak kedua Allahyarham, Rizal Afandy, 38.

"Kira-kira tiga minggu arwah (ayah) dirawat di wad, sebelum ini pernah menjalani rawatan diagnosis barah buah pinggang pada Mac 2013.

"Dalam enam bulan kemudian, doktor mengesan barahnya telah merebak ke paru-paru sebelum merebak ke bahagian lain," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Jalan SS4B/1, Kelana Jaya.

Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Al-Ehsan, Kelana Jaya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 8, Kota Damansara pada 11 pagi Khamis.

Allahyarham meninggalkan isteri Datin Jeliah Ghalim dan tiga anak.

Ahmad Mokhtar, yang bertugas sebagai duta Malaysia di Peru selama tiga tahun sehingga 1999 pernah menjadi tebusan kumpulan gerila Tupac Amaru bersama ramai diplomat negara lain di kediaman duta Jepun di Lima pada Disember 1996. - Bernama

Share on Myspace