Isu pembalakan haram bukan baru sehari dua - Anwar

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Isu pembalakan haram yang berlaku baik di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak bukan sesuatu yang baru dibangkitkan sehari dua ini.

"Isu ini menjangkau puluhan tahun dan pastinya memberi dampak negatif ke atas perolehan hasil hutan," ujar Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan.

Menurutnya, puluhan malah ratusan juta ringgit hilang begitu sahaja saban tahun dek pembalakan haram yang tidak dibendung dengan serius.

Sehubungan itu, beliau menyatakan sokongan terbuka ke atas kenyataan terbaharu Sahabat Alam Malaysia (SAM) melalui Presiden SM Mohamed Idris bersabit gesaan membekukan penukaran gunatanah hutan kepada perladangan.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Saya ingin menyatakan sokongan terbuka ke atas kenyataan terbaharu Sahabat Alam Malaysia (SAM) melalui Presiden SM Mohamed Idris bersabit gesaan membekukan penukaran gunatanah hutan kepada perladangan.

Beberapa perkembangan mutakhir termasuklah bencana banjir yang melanda khususnya kawasan Pantai Timur dan beberapa kawasan lain Semenanjung Malaysia dan tanah runtuh di Cameron Highland merupakan natijah daripada penukaran gunatanah hutan yang didorong inisiatif penerokaan hutan simpan kekal. Ini jelas sekali memberi kesan jangka panjang kepada keseimbangan ekosistem dan biodiversiti.

Isu pembalakan haram yang berlaku baik di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak bukan sesuatu yang baru dibangkitkan sehari dua ini. Isu ini menjangkau puluhan tahun dan pastinya memberi dampak negatif ke atas perolehan hasil hutan. Puluhan malah ratusan juta ringgit hilang begitu sahaja saban tahun dek pembalakan haram yang tidak dibendung dengan serius.

Perincian dan butiran fakta yang dikemukakan oleh SAM menunjukkan rakyat wajar merasa bimbang. Trend melalui konsep agro-perhutanan tidak wajar dijadikan justifikasi untuk menghalalkan penerokaan hutan serta penukaran guna tanah melibatkan hutan simpan kekal secara sewenang-wenang. Justeru wajar sekali kenyataan SAM ini dijawab dengan jelas dan tuntas oleh badan berwajib khususnya Kementerian Sumber Asli & Alam Sekitar melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia serta Kementerian Perusahaan Perladangan & Komoditi melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Adalah wajar sekiranya Majlis Tanah Negara kembali menyemak Dasar Perhutanan Negara yang digubal pada tahun 1977 agar ia diperkemas sesuai dengan kondisi masa kini yang terdedah kepada ancaman pembalakan serta penerokaan haram, dan juga mempertimbangkan seseriusnya gesaan SAM untuk membekukan sebarang bentuk penukaran gunatanah hutan kepada perladangan. Elemen penguatkuasaan harus dimantapkan supaya bersifat lebih efektif dalam menangani masalah ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga digesa bertindak tegas untuk membanteras kegiatan korupsi di sebalik pembalakan haram yang berlaku. Dalam pada kita mendorong pembangunan dilaksana dan menggiatkan hasil perladangan, kita sama sekali tidak wajar berkompromi dengan pemugaran tanah sehingga mengakibatkan keseimbangan ekosistem terjejas. - HARAKAHDAILY 22/1/2015

Share on Myspace