Semakan Bajet 2015: Tanda aras mewah tidak realistik

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

1. Merujuk kepada Perutusan Khas Perdana Menteri tentang Perkembangan Ekonomi Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara pada 20 Januari 2015 lalu, kerajaan sewajarnya tidak berselindung dengan rakyat tentang hakikat bahawa Malaysia bakal berhadapan krisis besar kewangan akibat harga minyak mentah turun yang tidak hanya melibatkan tempoh yang pendek.

2. Walaupun U.S. Energy Information Administration (EIA) ada meramalkan bahawa harga global minyak mentah Brent (Brent Crude Oil Price) akan meningkat ke paras AS$67 setong menjelang akhir tahun 2015, namun bagi suku pertama 2015, harga minyak mentah itu juga dijangka akan menjunam ke paras harga serendah AS$49 setong.

3. Dalam masa yang sama jangan diabaikan kajian sebahagian penganalisis antarabangsa bahawa Amerika Syarikat dan Arab Saudi dijangka akan meneruskan tekanan sehingga harga minyak mentah jatuh ke paras AS$20 setong yang boleh membawa kepada Rusia dan Iran sebagai juga pengeluar minyak dunia menjadi muflis.

4. Menurut Ali al-Nu'aimi, Menteri Petroleum Arab Saudi, keadaan ini akan menyebabkan negara pengeluar minyak selain negara Teluk seperti Venezuela, Nigeria, Iran dan Rusia menjadi muflis. Setiap AS$1 kejatuhan harga minyak bererti kerugian sehingga AS$2 bilion (AS$ 2000 juta) sehari bagi Rusia. Sekiranya kita anggarkan harga minyak jatuh sekitar AS$70 setong sejak Jun 2014 yang lalu ia bererti Rusia telah kerugian AS$140 bilion setahun dan ia bakal bertambah lagi.

5. Arab Saudi dan beberapa negara Teluk tidak terkesan untuk jangka masa pendek kerana mereka mempunyai "poket tebal". Arab Saudi sahaja memiliki lebihan tunai sebanyak AS$750 bilion bersamaan RM2.6775 trilion (USD750,000,000,000 /RM2,677,500,000,000) dan mampu menanggung kerugian untuk beberapa tahun kedepan. Begitu juga dengan Kuwait, Emiret dan Qatar memiliki simpanan kewangan sehingga AS$1 trilion (AS$ 1,000,000,000,000). Namun tidak begitu bagi negeri seperti Bahrain, Oman apatah lagi Malaysia.

6. Tiga (3) faktor utama kejatuhan harga minyak ialah:

(i) Permintaan minyak yang lemah disebabkan oleh krisis ekonomi dunia.
(ii) Pertambahan pengeluaran minyak syel Amerika Syarikat sekitar 5 juta tong sehari dan akan meningkat sehingga 10 juta tong sehari pada 2020.
(iii) Tindakan Arab Saudi menolak permintaan untuk mengurangkan pengeluaran minyak ketika persidangan OPEC pada Disember 2014 yang lalu.

7. Rusia dan Iran melihat seolah ada satu pakatan antara Arab Saudi dan Amerika bertujuan mencekik ekonomi Rusia yang mendokong usaha pemisahan Timur Ukraine dan Iran yang mendokong kerajaan Syria dan Hizbullah di Lubnan. Rusia yang bergantung 70% kewangan kepada hasil petroleum dijangka akan muflis pada tahun ini. Nilai matawang Rusia juga jatuh 60% berbanding dolar. Begitu juga Iran yang turun matawangnya sehingga 80% berbanding dolar.

8. Berdasarkan pembentangan Perdana Menteri semalam, saya menjangkakan bahawa akan tiada perubahan positif pada pertumbuhan ekonomi negara bahkan negara akan terus berhadapan dengan krisis ekonomi dan kemelut kewangan yang kritikal bagi tahun 2015. Apatah lagi apabila PM cuba berselindung kononnya nilai minyak mentah import dan export minyak bersih Malaysia adalah seimbang dan tidak menjejaskan sangat sumber kewangan negara.

9. Pendekatan menggunakan ‘opulent benchmark’ (tanda aras mewah) seperti merendahkan unjuran purata paras harga asas minyak kepada hanya AS$55 setong dan menetapkan sasaran defisit yang dikaji semula kepada 3.2% berbanding 3.0% bagi tahun 2015 adalah tidak realistik dan melemahkan daya saing ekonomi negara.

10. Ditambah pula, Kerajaan juga mengumumkan perbelanjaan mengurus (operating expenditure) dikurangkan hanya sebanyak RM5.5 bilion dalam keadaan unjuran purata paras harga asas minyak yang baru kepada AS$55 setong telah mengurangkan pendapatan negara sebanyak RM13.8 bilion dan masih memerlukan RM8.3 bilion bagi menampung langkah-langkah dalam Bajet 2015.

11. Sepatutnya, dalam mendepani ketidaktentuan faktor-faktor yang menjadi punca kejatuhan harga minyak mentah global yang menjunam lebih 50%, Kerajaan menggunapakai pendekatan bersedia menghadapi ‘worst case scenario’ seperti menetapkan unjuran purata paras harga asas minyak kepada AS$35 hingga AS$45 setong sahaja, bukannya AS$55 setong.

12. Kerajaan juga seharusnya sedar dan insaf bahawa pelaksanaan perkara-perkara yang tidak patuh syariah juga adalah menjadi faktor utama kepada kemerosotan hasil pendapatan negara kerana perbuatan tersebut menjauhkan negara daripada mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t.

13. Sikap Kerajaan mengemukakan Semakan Bajet 2015 tanpa terlebih dahulu membentangkannya di Parlimen atau sekurang-kurangnya dalam sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai Ahli-hali Parlimen BN dan PR serta pakar-pakar ekonomi dilihat sebagai suatu tidakan yang tidak teliti dan tidak cermat dalam memelihara kepentingan negara dan rakyat.

14. Suasana gawat ekonomi ini mengingatkan kita dengan pengajaran perancangan ekonomi menerusi surah Yusof ayat 47 hingga 48:

قَالَ تَزْرَعُونَ سَبْعَ سِنِينَ دَأَبًا فَمَا حَصَدْتُمْ فَذَرُوهُ فِي سُنْبُلِهِ إِلَّا قَلِيلًا مِمَّا تَأْكُلُونَ.
ثُمَّ يَأْتِي مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ سَبْعٌ شِدَادٌ يَأْكُلْنَ مَا قَدَّمْتُمْ لَهُنَّ إِلَّا قَلِيلًا مِمَّا تُحْصِنُونَ

"Berkata Nabi Allah Yusof, kamu menanam selama tujuh tahun sebagaimana biasa. Maka apa hasil yang kamu tuai maka biarkanlah ia pada tangkai-tangkainya melainkan sedikit yang kamu makan. Kemudian datang selepas itu tujuh tahun yang sukar yang akan meratah apa yang kamu simpan untuk tujuh tahun itu melainkan sedikit yang kamu bentengkan kehadapan"

15. Kesimpulan tafsiran ayat ialah, hasil negara dibahagikan kepada 3 iaitu satu bahagian untuk perbelanjaan semasa, satu bahagian untuk simpanan kegunaan waktu sukar dan krisis ekonomi dan satu pertiga lagi untuk digunakan sebagai modal kebangkitan semula selepas berakhir saat sukar.

16. Namun, apa yang boleh diharapkan daripada kerajaan Malaysia? Jika bajet tahunan telah menyaksikan defisit selama 18 tahun berturut-turut, perbelanjaan melebihi pendapatan semasa, pemborosan berlaku dan penjimatan diabaikan, ketirisan berleluasa sebagaimana laporan Audit Negara dan hutang negara meningkat melebihi RM600 bilion, apakah mungkin Malaysia mampu berhadapan saat sukar kewangan sekiranya ia berpanjangan selama bertahun-tahun?

17. Akhirnya, bagi kerajaan BN, penyelesaiannya hanyalah menerusi percukaian GST yang bercanggah dengan konsep percukaian Islam bukan menerusi penjimatan dan perbelanjaan berhemah negara yang menjadikan rakyat sebagai mangsa kegagalan pengurusan kewangan pemimpin negara! - HARAKAHDAILY 22/1/2015

Sekian.

22 Januari 2015 / 1 Rabiulakhir 1436H

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Share on Myspace