Misi bantuan: Mangsa banjir selfie dengan Abby

SALMIYAH HARUN | .

HARI PERTAMA

SEAWAL jam 7.00 pagi kami berkumpul di Gua Musang sebelum menjamah sarapan pagi di kedai makan rakan sepasukan kami. Nasi berlauk ikan tongkol dan roti canai serta kuih muih cukuplah untuk bekalkan tenaga buat kami bertugas di kawasan yang terjejas banjir di Kuala Krai.

Selesai bersarapan, kami meninjau di sekitar Gua Musang. Dari sini kami sudah mula mengagihkan barang sumbangan di dalam kenderaan 4x4 kami. Orang pertama yang kami jumpai seorang mak cik yang berniaga gerai makan. Habis musnah peralatan meniaganya akibat banjir sejak 22 Disember lalu. Sehingga kini tidak dapat berniaga, semuanya perlu diganti.

Seorang lagi mak cik terpinga-pinga di hadapan rumahnya. Kami menyerahkan barangan sumbangan kepadanya.

"Mak cik tak tahu hendak mula dari mana, barang bersepah-sepah. Mesin basuh dah rosak, peti ais tak boleh guna," ujar mak cik sebaik sahaja kru kami menegurnya.

Hanya perkataan 'sabarjelah' yang terkeluar daripada mulut kami. Itu sahaja yang boleh diucapkan. Malah penduduk yang terkena musibah ini sentiasa mengukirkan senyuman dan redha dengan apa sahaja, ujian dari Allah SWT.

"Kito redhalah, lagipun bukey kito sore yang keno. Semua kena belako,"  luah seorang pak cik apabila kami memintanya bersabar dengan ujian ini.

Kemudian kami bergerak ke Kampung Batu 4,5,6 di Gua Musang. Kami melalui jalan kecil yang muat-muat sebiji kenderaan 4x4 kami. Di sinilah penduduk melarikan diri ke atas bukit ketika air naik mendadak tempoh hari.

Kebanyakan rumah di sini adalah rumah papan dan mereka mencari rezeki dengan menoreh getah. Kini mereka yang kehilangan rumah dan tinggal menumpang di rumah saudara mara sehinggakan ada tiga keluarga dalam satu-satu rumah.

Kami meneruskan perjalanan sehingga ke akhir jalan dan kami terpaksa berpatah balik kerana jambatan telah runtuh dan dalam proses membaik pulih oleh penduduk kampung di situ.

Orang kampung terpaksa menggunakan jambatan kereta api yang sudah lama tidak digunakan sebagai penghubung untuk mereka keluar ke jalan utama. Namun laluan ini hanya boleh dilalu dengan motosikal sahaja.

Jam 10.40 pagi kami bergerak ke Limau Kasturi. Apabila sebut sahaja Limau Kasturi terus rakan seangkatan kami teringat drama Cikgu Limau Kasturi lakonan Harun Salim Bachik.

Sebaik sahaja empat biji kenderaan 4x4 kami tiba, berduyun-duyun penduduk keluar mengerumuni kami. Kami tidak menang tangan. Semua barang-barang makanan dan keperluan harian yang kami bawa kami serahkan kepada mereka. Tidak ada yang tertinggal walau sekotak lilin sekalipun. Akan timbul rasa bersalah  jika apa yang mereka minta kami tidak berikan.

Duta Misi Bantuan Kemanusiaan Harakah Abby Abadi selalu mengingatkan kami agar cepat mengagihkan barang sumbangan, kerana ada satu trak tiga tan masih menunggu untuk diagihkan. Kami membawa lebih 1,000 paket makanan, keperluan harian dan keperluan wanita serta bayi. Kerja-kerja membungkus ini dilakukan oleh kakitangan Harakah MyBazaar Harakah dua hari sebelum bertolak. Terima kasih kawan-kawan. Jasa kalian tetap di kenang.

Gerabak Keretapi Tanah Melayu (KTM) masih lagi tersadai, tidak terusik. Masih berlumpur. Menurut penduduk ketika banjir hari itu mujurlah 200 orang penumpang sempat diselamatkan dengan bas yang datang mengambil mereka.

Kami sempat 'berselfie' dengan keretapi ini. Mungkin ia menjadi lipatan sejarah negara suatu hari nanti.

11.40 pagi kami bergerak ke Pusat Khidmat Dun Manek Urai berada di tepi jalan utama untuk memunggah barangan daripada trak ke kenderaan kami sebelum menunaikan solat jumaat. Seusai solat, kami bergegas ke Manek Urai Lama.

Allahuakbar. Masyallah. Itulah perkataan yang terkeluar dari mulut kami sebaik sahaja melihat keadaan suasana sekeliling. Keadaanya lebih buruk daripada apa yang disangka. Tergamam kami seketika. Pandangan mata kami terasa keruh melihat selut-selut menguasai segenap penjuru kampung ini.

Semua sama warna, tiada lagi kecerian. Di sini selut di sana selut. Kehijauan pokok-pokok juga tidak kelihatan. Cuaca panas hari itu, memaksa kami mengenakan penutup hidung kerana debu-debu dari selut-selut kering berterbangan menusuk hidung. Kami berpecah, mengambil haluan masing-masing untuk mengagihkan sumbangan.

Kenderaan 4x4 yang saya naiki tiba-tiba enjinya mati. Berkali-kali cuba tetap tidak dapat dihidupkan. Mujurlah ada NGO lain yang menolong kami menghidupkan enjin dengan 'jumper' mereka. Malah ada dua tiga orang penduduk kampung juga datang menghulurkan bantuan kepada kami.

"Itulah kito dengar bunyi enjin macam tu, kita rasa bateri lemah. Tu kito maghi selalu," sapa salah seorang penduduk di sini, beliau adalah mekanik. Alhamdulillah enjin dapat dihidupkan.

Kami terpaksa melalui jambatan sempit yang merentangi Sungai Lebir untuk ke Kampung Pemberian. Sungai ini menjadi sumber air utama penduduk ketika ini kerana bekalan air bersih masih belum pulih sepenuhnya.

Kelihatan anak-anak sedang bersuka-ria  mandi manda di sungai ini sambil menyapa kami. Ibu bapa pula turut bersama mengawasi anak-anak mereka. Selain mandi-manda mereka  turut membasuh pakaian dan pinggan mangkuk.

Melihat gelagat kanak-kanak ini, kami sempat menyantuni mereka. Kami menghulur gula-gula 'lollipop' setiap seorang. Badan terketar-ketar kesejukan. Tidak berbaju sambil meraup muka yang masih basah datang meminta 'lollipop' dengan kami. Sukanya mereka tidak terkira.

Kehadiran Duta misi kami Abby Abadi membuatkan suasana sedikit ceria. Abby dengan sikap selambanya mengajak penduduk mengerumuni kenderaan kami.

"Mari-mari kami ada bawa sedikit sumbangan untuk adik kakok," Abby memanggil membuatkan ramai yang datang ke kenderaan kami.

Pada awalnya mereka tidak perasan susuk tubuh personaliti itu. Salah seorang daripada mereka menyapa "ini Abby Abadi ke?". Sudah tahu, apa lagi, mereka tidak putus-putus mahu 'selfie' buat kenang-kenangan.

Malah ada yang sampai pusing kampung mencari Abby untuk ber'selfie' apabila mereka mengetahui kehadiran Abby di kampung mereka, Kampung Pemberian.

Mak cik-mak cik pula tidak kenal Abby sebaliknya kenal susuk tubuh itu dengan panggilan Inspektor Aliza, watak yang cukup berkesan di dalam siri drama Gerak Khas.

Asyik mengagihkan segala macam yang ada di dalam kenderaan kami, sehingga kami tidak sedar rupanya tidak ada setitik pun air minuman untuk kami. Air amat diperlukan oleh penduduk ketika ini. Banyak rumah yang kami singgah masing-masing meminta air.

Sehingga rakan kami pula tidak teragak-agak mahu beli air minuman daripada penduduk. Saya membantah, buat malu sahaja. Sabarlah. Kita baru diuji kehausan, mereka diuji lebih teruk lagi. Akhirnya rakan saya akur.

Perut kami belum diisi, melihat ikan goreng panas-panas dengan gulai kawah dari dapur pusat Khidmat Dun Manek Urai, perut kami semakin kuat berbunyi. Lauk ala-ala marhaen ini cukup menyelerakan buat kami.

Ada satu lauk, saya dan rakan Harakahdaily, Faizal terbayang-bayang sehingga hari ini. Memang sedap. Saya tidak tahu macam mana pak cik di Pusat Khidmat Dun Manek Urai itu masak. Dia masak macam orang lain masak, letak bawang dan cili. Tetapi bagi saya dan rakan ia sungguh sedap di makan panas-panas. Bukan lauk mahal pun. Telur goreng je.

Oh! Nikmat sungguh makan telur goreng. Sampai rakan kami kata lagi sedap apabila kunyah terasa garam di dalam telur itu. Abby Abadi yang meminta telur goreng itu turut mengakui memang sedap. Agaknya kami kelaparan. Itulah nikmat yang Allah bagi kepada kita, seperti kita berpuasa, semuanya sedap belaka.

HARI KEDUA

Hari kedua 17 Januari, kami bergerak dari Machang tempat kami menginap. Sebelum itu, kami singgah di kedai makan nasi kerabu Golok. Sambal tumis, budu hitam, sambal ikan,telur masin, daging dan ayam bakar serta bawang putih jeruk hidangan kami. Nasi dagang gulai ikan tongkol pun ada.

Sekali lagi Abby Abadi menjadi tumpuan ramai pelanggan termasuk tuan kedai tidak melepaskan peluang 'selfie' dengan beliau.

Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yakop sempat berseloroh "Tak nak ke, bergambar dengan Dr Rosli? Jawab pekerja kedai "sayo tok kenal siapa Dr Rosli". Tegelak kami mendengarnya. Dr Rosli cukup perihatin dengan nasib mangsa banjir, beliau dengan pen dan buku catatanya tidak lepas mengambil maklumat mangsa. "Mengalahkan reporter," kata kami.

Jam 9.00 pagi kami memandu ke pusat Khidmat DUN Manek Urai. Hari ini hari terakhir kami di sini dan hari ini kami ada sesi penyampaian baju sekolah kepada pelajar di sekitar Manek Urai Baru meliputi Lebur Kala, Tanjung Batu, Temiang, Kg Gajah, Ragu Luar dan Ragu Dalam. Sebanyak 200 uniform lelaki dan perempuan, kami sediakan. Di Kampung Peria kami juga mengagihkan 200 helai uniform sekolah kepada penghulu mukim di sana.

Para ibu bapa masing-masing diberikan kupon untuk ditukar dengan baju dan mereka juga telah memaklumkan saiz baju dan seluar anak-anak mereka. Kami tidak menang tangan, seorang demi seorang kami layan.

Ibu bapa mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Harakah yang menyediakan pakaian sekolah anak mereka. Kebanyakan ibu bapa telah membeli keperluan ini malangnya ia musnah kerana banjir tempoh hari.

Sebelum penyampaian baju sekolah kami turut mengundang Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli untuk sama-sama di dalam program ini. Saya berkali-kali menelefon Dr Hatta, malangnya beliau tidak dapat bersama. Sibuk betul MP sorang ni. Tidak tercapai hasrat saya untuk menemu bual beliau sejak bah 26 Disember lalu. Hanya dapat lihat gambar beliau di laman Facebook. Mahu tengok sendiri bagaimana keadaan beliau yang sudah digambarkan tidak ubah seperti 'pekerja kontrak' di laman sosial.

Sebelum bertolak balik ke Kuala Lumpur kami singgah di Kampung Laloh. Lunaskan semua amanah yang diberikan. Semua barang yang kami bawa berjaya disampaikan kepada mangsa-mangsa banjir.

Insya-Allah pihak Harakah sedang berusaha untuk mengumpul dana bagi menjayakan Misi kedua khusus untuk menyediakan peralatan sekolah Pasti di Manek Urai. Doakan misi ke dua kami dipercepatkan.  – HARAKAHDAILY 22/1/2015

Share on Myspace