Polis rakam, sebar klip video penyanyi dikenal pasti

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Polis Selangor telah mengenal pasti anggota polis yang terbabit merakam dan menyebarkan klip video seorang penyanyi yang sedang menyanyi dalam keadaan tangan digari ketika dalam tahanan.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata pihaknya masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti pegawai dan anggota lain yang terbabit sama.

Siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin dan akan dikemukakan kepada timbalan pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan dalaman dari segi salah laku dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) juga sedang dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia, Kontinjen Selangor.

Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, katanya.

Abdul Samah memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak dan tindakan dalaman mengikut peraturan tatatertib akan dikenakan terhadap anggota terbabit.

Video berdurasi satu minit 23 saat itu memaparkan seorang penyanyi lelaki sedang menyanyikan sebuah daripada lagu popularnya.

Ia tersebar di Facebook yang turut mendapat kecaman pelbagai pihak yang menyifatkan ia sebagai tindakan membuli dan menjatuhkan maruah penyanyi terbabit.

Penyanyi tersebut dan teman wanitanya ditahan semalam kerana dipercayai memiliki dadah di sebuah rumah di Taman Keramat di sini.

Pihak polis menemui bungkusan disyaki mengandungi heroin seberat kira-kira 1.2 gram. Mereka direman selama empat hari.

Sementara itu Presiden Yayasan Artis 1Malaysia, Datuk Irwan Shah Abdullah atau D.J Dave menyifatkan perbuatan menyebarkan video itu sebagai tidak adil kepada golongan artis kerana seluruh insan seni turut terkena tempiasnya.

"Jangan buat begitu kerana artis juga manusia biasa. Soal penglibatannya dengan dadah biar undang-undang yang menentukan sama ada dia bersalah atau tidak," katanya.

Bagi penyanyi Zainal Abidin Mohamad atau Zainal Headwind, video itu amat memalukan golongan artis kerana sebagai orang yang dikenali, artis itu tidak patut didedahkan dengan cara yang menjatuhkan maruahnya.

"Itu satu deraan yang mengaibkannya. Lupakah mereka kepada keluarga penyanyi itu yang turut menanggung malu akibat perbuatan mereka," katanya.

Beliau berkata individu yang menyebarkan video itu patut dikenakan tindakan tegas agar menjadi pengajaran kepada orang lain yang turut mempunyai minat yang sama untuk merakam dan memuat naik video bagi tujuan menjatuhkan maruah seseorang individu yang belum dihukum.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Khairuldin Saad berkata empat orang saksi termasuk dua anggota polis telah dipanggil memberi keterangan.

Beliau berkata dua lagi saksi yang memberi keterangan adalah penyanyi itu dan teman wanitanya.

"Keterangan diambil hari ini. Kita akan menjalankan siasatan secara dalaman dan kita percaya ia dilakukan lebih daripada seorang," katanya. - Bernama

 

Share on Myspace