Harakah berhasrat jadikan Pasti As-Shobri sebagai model

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Harakah berhasrat menjadikan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) As-Shobri di Kampung Manek Urai Baru sebagai model Pasti mengikut suasana pendidikan sekarang.

Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakop berkata pemerkasaan Pasti itu akan dilaksanakan pada Misi Bantuan Kemanusiaan Harakah kedua yang dijadualkan pada 10 hingga 12 Februari nanti.

"Kita memilih Pasti As-Shobri sewaktu misi pertama Harakah sebelum ini serta melalui perbincangan yang dibuat bersama kakitangan yang diberi tanggungjawab, Pasti ini akan dijadikan sebagai model.

"Selain itu kita akan lengkapkan keperluan kepada Pasti tersebut dengan kelengkapan terbaik termasuk lanskap di sekitar agar kanak-kanak lebih selesa untuk belajar," kata beliau ketika di temui di pejabatnya.

Beliau yakin dengan tanggungjawab yang diberikan kepada kakitangan Harakah serta sukarelawan matlamat untuk menjadikan Pasti As-Shobri sebagai model akan terlaksana.

"Sekarang kita sedang meneliti model-model pusat pembelajaran kanak-kanak swasta yang ada di sekitar Lembah Klang.

"Melalui bentuk model-model tersebut kita akan membuat anggaran untuk kos keseluruhan agar program misi ini berjalan dengan lancar," sambung beliau lagi.

Sementara itu, Exco Muslim Care, Dr Riduan Mohamad Nor berkata pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan Harakah bagi misi kedua nanti.

"Kita akan berbincang bentuk kerjasama nanti dan perkara itu akan dimaklumkan, saya sambut baik perancangan yang dibuat ini.

"Muslim Care mengucapkan terima kasih atas kejayaan misi pertama Harakah dan saya yakin matlamat Harakah untuk menjadikan Pasti As-Shobri sebagai model akan berjaya," kata beliau kepada Harakahdaily.

Harakah turut mengharapkan sumbangan orang ramai kepada Tabung Bencana Harakah yang boleh disalurkan melalui akaun Maybank 546070130442 bagi membantu mangsa-mangsa banjir. - 23/1/2015

Share on Myspace