Rumah Budiman: Pemuda PAS terus terima sumbangan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Perkembangan terkini projek Perumahan Rakyat Budiman (PRB) yang sedang diusahakan oleh Pemuda PAS Malaysia khususnya buat mangsa banjir di Kelantan semakin memberangsangkan apabila ada individu turut menyumbang sebanyak RM100,000.

Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat berkata, selepas pihaknya membuka Tabung Kemanusiaan Pemuda untuk kerja-kerja membina Rumah Budiman semakin banyak sumbangan diterima.

"Dengan sumbangan ini, kita dapat bina dua biji setengah Rumah Budiman untuk mangsa banjir di Kuala Krai," katanya dihubungi Harakahdaily.

Malah beliau berkata ada sebuah syarikat turut bersedia menyumbang 100 unit pintu rumah aluminium untuk rumah budiman itu nanti.

Selepas meletakkan batu asas untuk projek perintis pada 13 Januari lalu, Pemuda PAS kini mensasarkan untuk membina 10 lagi Rumah Budiman pada masa akan datang.

"Kita sedang berurusan dengan penghulu kampung untuk mengenal pasti penduduk yang berhak mendapat rumah ini. Jika dapat maklumat sewal mungkin kita akan mulakan pada 29 Januari nanti," katanya.

Bahkan katanya, pihak kontraktor yang dipilih akan memulakan pembinaan satu persatu pada setiap minggu dan dijangka empat buah rumah untuk sebulan.

"Kita akan letakkan nama penyumbang terbesar di setiap rumah budiman. Misalnya dia sumbang RM37,000 (harga sebuah rumah) maka nama dia kita akan letakkan di rumah berkenaan. Kalau RM100,000 kita akan letak nama dia lebih daripada dua rumah," katanya.

Projek perintis PRB telah dilaksanakan di alamat No.11 Kampung Temiang Kuala Krai di Dun Manek Urai dan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Tabung itu akan terus dibuka sehingga 30 Jun 2015. Semua pihak boleh menyalurkan bantuan ini melalui akaun Maybank Berhad 5640 2540 0100.

Perkembangan Rumah Budiman ini boleh dilihat melalui laman web www.rumahbudiman.com ataupun menghubungi talian 019-2447172. - HARAKAHDAILY 23/1/2015

 

Share on Myspace