Hapus AP, turun tarif elektrik baru ada makna untuk rakyat

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

TEMERLOH: Kerajaan sepatutnya menghapuskan permit import (AP) kereta dan memberikan diskaun kepada caj tarif elektrik selaras dengan penurunan harga minyak global supaya faedahnya dapat dinikmati rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, dengan tindakan sedemikian menyebabkan rakyat boleh berbelanja dan sekali gus dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi negara ini.

“Harga minyak yang turun pada masa ini sepatutnya memberi banyak faedah kepada rakyat tetapi nampak berkurangan kerana tidak disertai dengan penghapusan AP dan penurunan cukai kereta supaya harganya menjadi lebih murah.

“Bila harga kereta lebih rendah barulah aktiviti ekonomi akan berjalan rancak kerana orang boleh jual kereta lama dan beli kereta baru. Jadi barulah ada makna kepada penurunan harga minyak. Sekarang ini orang tidak boleh tukar kereta baru kerana cukai masih tinggi.

“Jadi kerajaan seharusnya mengkaji balik untuk memastikan aktiviti ekonomi ini dapat bergerak dalam suasana ringgit Malaysia jatuh dan harga minyak turun, duit mesti berputar jadi mesti pastikan harga kereta murah baru ada makna,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata demikian selepas mewakili PAS kawasan berkenaan menyerahkan sumbangan wang tunai dan beras kepada mangsa-mangsa yang terjejas banjir di Pahang terutamanya di daerah ini.

Sumbangan diterima oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh Md Jusoh Darus dalam satu majlis ringkas. Turut hadir AJK PAS Pusat Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Menurut Mahfuz, kerajaan juga mesti menurunkan caj tarif elektrik kerana sumber penjanaannya telah jatuh harga.

“Pengumuman Perdana Menteri bahawa kadar tarif elektrik tak naik pada tahun 2015 tidak memadai. Pada saya paling tidak pengguna mesti diberi diskaun sebanyak 15 peratus sebab harga bahan petroleum dah turun, harga arang batu pun turun ke USD48 per metrik tan sekarang ini.

“Kita tahu untuk menjana kuasa elektrik arang batu dan minyak digunakan, kalau dua-dua sumber penjanaan ini sudah pun turun jadi sepatutnya bagi saya kena diskaun sekurang-kurang 15 peratus baru boleh membantu kepada meringankan beban sara hidup rakyat,” jelasnya lagi.

Mahfuz bagaimanapun tidak bersetuju dengan saranan sesetengah pihak yang mahu projek-projek besar dihentikan kerana akan membuatkan ekonomi lumpuh.

Katanya, projek besar mesti terus berjalan dengan kawalan bagi terus menggerakkan ekonomi dengan penyertaan kontraktor-kontraktor kecil dan mengelakkan pengangguran. - HARAKAHDAILY 23/1/2015

 

Share on Myspace