Minyak turun, harga bahan mentah masih mahal

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Negeri Perak melahirkan kekesalan apabila harga barangan masih tidak menurun walaupun Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan penurunan harga bahan bakar petroleum.

"Hasil pemantauan pihak kami, harga barangan terutama bahan mentah seperti ikan, sayur-sayuran, barangan dapur dan sebagainya masih mahal dan membebankan masyarakat khususnya berpendapatan rendah," ujar Ketua Penerangannya, Mohd Syamsul Alaudin.

Sebelum ini, katanya tindakan pemborong, pembekal mahupun peniaga mengambil tindakan menaikkan harga barangan adalah dengan alasan kenaikan harga minyak namun walaupun harga minyak diturunkan, tidak menampakkan penurunan harga-harga barang.

Justeru, katanya Pemuda PAS ingin mempersoalkan apakah peranan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam mengawal harga barang-barang terutama keperluan harian.

"Kami juga ingin mengetahui sejauh mana pemantauan yang dilakukan oleh KPDNKK ke atas peniaga-peniaga di seluruh negara termasuklah di pekan-pekan kecil khususnya di pinggir bandar," ujarnya dalam satu kenyataan.

Pemuda PAS, tambahnya melahirkan kemusykilan tentang keberadaan atau kewujudan KPDNKK yang hanya dilihat di bandar-bandar besar semata-mata.

Katanya lagi, kewujudan mereka seolah-olah hanya dapat dilihat apabila menteri terbabit turun padang terutama ketika sesuatu isu berkenaan berbangkit.

"Kami mengharapkan agar pemantauan daripada kementerian tersebut dapat dilakukan secara menyeluruh dalam kadar yang kerap agar harga-harga barang dapat dikawal serta mengatasi masalah harga penjualan barangan secara tidak terkawal," kata beiau.

Beliau menyarankan pihak kementerian dapat bekerjasama dengan agensi kerajaan termasuklah majlis-majlis daerah di seluruh negara dalam membuat pemantauan harga barangan di samping mengenakan tindakan yang serius kepada peniaga-peniaga yang tidak mengikut harga siling yang telah ditetapkan oleh kementerian.

Pemuda PAS sangat mengharapkan kerajaan benar-benar serius dan merasai denyut nadi rakyat dengan memberikan perhatian serta berusaha mengurangkan beban yang sedang dialami khususnya kepada rakyat marhaen. - HARAKAHDAILY 23/1/2015

Share on Myspace