Kes Altantuya: Mahkamah perlu kembalikan integriti

MUHAMMAD FAIZAL | .

 KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menggesa agar mahkamah mengembalikan integriti dan imej badan perundangan itu dalam kes pebunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Beliau ketika dihubungi berkata, mahkamah perlu meneliti semula keputusan yang dibuat dengan mengambil pendekatan untuk tidak menyembunyi motif pembunuhan.

"Rakyat telah hilang keyakinan terhadap sistem perundangan dan mahkamah di negara ini terutama dalam kes-kes berprofil tinggi.

"Termasuk juga dalam kes pembunuhan Altantuya yang dijatuhkan hukuman adalah Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar yang merupakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK).

"Sedangkan motif pembunuhan dan siapa yang mengarahnya kita tidak dimaklumkan," katanya kepada Harakahdaily.

Ahli Parlimen itu berharap agar mahkamah memulakan perbicaraan semula bagi memanggil saksi-saksi baru bagi tujuan mengetahui motif sebenar pembunuhan tersebut.

"Dunia sedang memerhati kita dalam kes pembunuhan Altantuya, saya tekankan kita perlu ketahui arahan siapa dan motif sebenar.

"Kalau kita hanya menghukum mereka yang melakukan dengan menyembunyikan motif dan arahan siapa, bukan sahaja sistem perundangan malah Malaysia turut dipersoal integritinya," tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 23/1/2015

Share on Myspace