Cerun sangat bahaya, Pemuda PAS mahu jumpa DBKL

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menghantar surat dan mencadangkan agar pertemuan diadakan dengan DBKL berhubung cerun bukit bahaya di sekitar ibu negara.

Timbalan Ketuanya, Nurul Islam Mohamed Yusuf berkata ini ekoran daripada kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib bertarikh 7 Januari lalu, sebanyak 1,740 cerun bukit telah dikenal pasti berhadapan risiko tanah runtuh.

Sebanyak 620 telah dikategorikan sebagai 'sangat berbahaya' manakala yang selebihnya adalah 'bahaya'.

Kawasan Parlimen Segambut adalah paling berisiko dan disusuli dengan Lembah Pantai.

"Asas data yang dikemukakan oleh Kuala Lumpur Slope Information System (KuLSIS) ini, pihak DPPWP melahirkan kebimbangan dan usaha yang terancang perlu segera diambil oleh DBKL terutamanya penyediaan aksesibiliti maklumat kepada rakyat serta pelan tindakan kecemasan yang akan diambil memandangkan perubahan cuaca sekarang tidak menentu," ujarnya dalam satu kenyataan.

Kata beliau, pihaknya juga merujuk kepada laporan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 (Alam Sekitar) dan mendapati bahawa pembangunan di kawasan cerun melebihi 30 darjah serta hakisan tanah di tapak pembangunan masih berlaku.

Oleh yang demikian, ujarnya DPPWP telah mengambil inisiatif untuk mengadakan pertemuan rasmi bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

Pihaknya, jelas beliau telah menghantar surat dan mencadangkan agar pertemuan dapat diadakan pada 28 Januari ini.

"Kami turut berbesar hati jika dapat bersama-sama dengan pihak DBKL untuk meninjau beberapa kawasan tersebut," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 23/1/2015

 

Share on Myspace